Sabtu, 12 September 2015

Anak mangsa sempat hubungi ibu

kren runtuh


BACHOK – Anak sulung mangsa tragedi kren tumbang di Masjidil Haram sempat menghubungi ibunya awal pagi semalam untuk mengetahui keadaan mereka.

Mohd Mubassyir Mat Deris,30, berkata, dia mengetahui tragedi itu melalui berita televisyen jam 1 pagi tadi.

Namun dia hanya mengetahui ibu bapanya, Mat Deris Mohd Noor,62, dan Faridah Mat Yakcob,46, terlibat dalam tragedi itu pada jam 3 pagi selepas dimaklumkan melalui rakan kumpulan WhatsApps.‎

Menurutnya, selepas mengetahui kes itu dia segera menghubungi pihak Tabung Haji (TH) namun dia dimaklumkan pihak TH sedang mengumpulkan maklumat lanjut mengenainya.

“TH suruh saya sabar dulu sebab maklumat lanjut belum diperolehi. Saya cuba hubungi rakan yang bekerja TH dan alhamdulillah saya dapat bercakap dengan mak sekejap. Mak kata dia dah terpisah dengan ayah yang mungkin dirujuk ke hospital lain.

“Mak kata ketika kejadian dia selesai solat Asar dan mengajak ayah balik ke maktab, tetapi ayah kata tunggu dulu. Tak berapa lama lepas tu lah kejadian itu berlaku yang menyebabkan ayah cedera di kepala dan kaki,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Cherang Sepulai, Melawi tengahari tadi.

Katanya, sebelum bertolak ke Makkah, bapanya pernah menyatakan hasrat untuk lebih menumpukan beramal di masjid dan mengurangkan waktu berehat di dalam bilik.

Mohd Mubassyir yang masih terkejut dengan kejadian itu berharap agar semua dapat mendoakan ibu bapanya dan mereka yang terlibat akan selamat dan pulang ke tanah air seperti yang dijadualkan.

Mat Deris yang kali pertama mengerjakan haji bersama isterinya bertolak dari Kuala Terengganu untuk ke Makkah pada 5 September lalu.

Difahamkan, Mat Deris adalah seorang guru dan mempunyai lapan anak. Beliau kini dikatakan sedang dirawat di Hospital King Abdul Aziz, manakala isterinya hanya cedera ringan.


Tiada ulasan: