Ahad, 6 September 2015

Ahli Umno tawar ‘Cina buta’ selamatkan perkahwinan bekas pemimpin PAS



PAS baru-baru ini berkata yakin perkahwinan Ahli Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli antara yang terbubar dengan talak 3 secara automatik kerana melanggar baiah yang pernah dilafazkannya apabila menyertai Amanah tanpa meletak jawatan sebagai wakil rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 September, 2015.PAS baru-baru ini berkata yakin perkahwinan Ahli Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli antara yang terbubar dengan talak 3 secara automatik kerana melanggar baiah yang pernah dilafazkannya apabila menyertai Amanah tanpa meletak jawatan sebagai wakil rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Seorang pemimpin Umno tampil menawarkan khidmat pernikahan 'Cina buta' dengan upah hanya dua gantang beras - dianggarkan bernilai RM7.30 - kepada bekas pemimpin PAS yang menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) susulan dikatakan perkahwinan mereka terbubar kerana melanggar sumpah yang dibuat sebelum ini.

Ketua Umno Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos memberitahu The Malaysian Insider, tawaran itu dibuat bagi pihak 35 rakannya yang berusia bawah 35 tahun yang sanggup melakukan perkara tersebut.

Katanya, ia bertujuan menghalalkan semula perkahwinan pemimpin parti Islam itu yang menjadi pertikaian beberapa pihak berikutan baiah atau akujanji yang dipercayai dibuat mereka sewaktu bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.

"Kami tawarkan perkhidmatan ini kerana risau rakan sebangsa dan seagama daripada terus bersekedudukan dan berzina. 
 
 "Jadi, patutlah kita bantu dengan cara sebegini," katanya yang menghubungi The Malaysian Insider sendiri bagi memaklumkan tawaran itu.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini mengingatkan wakil rakyat yang menang dalam PRU13 atas tiket parti itu supaya mengosongkan kerusi jika menyertai parti baharu yang dirancang kumpulan serpihan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Katanya, mereka yang menyertai Parti Amanah Rakyat (Amanah), yang diumumkan pada 31 Ogos lalu, perlu meletak jawatan sebagai wakil rakyat kerana melanggar sumpah baiah kepada parti Islam itu.

Baiah itu didakwa mengakibatkan jatuhnya talak tiga kepada isteri wakil rakyat itu sekiranya mereka bertindak keluar parti selepas menang pilihan raya atas tiket PAS.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah baru-baru ini berkata, PAS yakin perkahwinan Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli antara yang terbubar dengan talak 3 secara automatik kerana melanggar baiah yang pernah dilafazkannya apabila menyertai Amanah tanpa meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

Kenyataan itu bagaimanapun ditolak Hatta yang berpegang kepada pendapat berbeza ulama lain.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud pula dikatakan menjamu nasi beriani kambing kepada 100 fakir miskin di Shah Alam pada 4 September lalu bagi tujuan membayar kifarah baiah itu.

Nikah secara 'Cina buta' atau istilah sebenarnya 'nikah muhallil' bertujuan menghalalkan suami pertama berkahwin semula dengan bekas isterinya yang sudah ditalak tiga.

Ia dilakukan dengan memenuhi 3 syarat - bekas isteri yang ditalak 3 bernikah dengan lelaki lain selepas tamat tempoh edahnya, melakukan hubungan badan sempurna dengan suami barunya dan kemudian diceraikan suami barunya itu.

Wanita tersebut kemudiannya akan halal bernikah semula dengan suami yang menceraikannya dengan talak 3 selepas ketiga-tiga syarat itu dipenuhi.

Istilah 'Cina buta' dipercayai wujud kerana amalan masyarakat Melayu pada masa dulu yang kebiasaannya mengupah seorang berbangsa Cina bagi membantu seorang wanita memenuhi syarat itu.

Bagaimanapun, hukum amalan itu terus menjadi pertikaian ekoran taraf perempuan yang seolah-olah menjadi barang dagangan dalam sesebuah perkahwinan.

Jamal berkata, beliau akan memperincikan profil 35 orang tersebut dalam masa terdekat menerusi sidang media atau menerusi akaun Facebook miliknya.

Ditanya tentang jaminan yang "perkhidmatan" itu akan dilaksanakan dengan sempurna, Jamal memberikan jawapan berikut:

"Kalau isteri dah suka dengan suami yang baru, itu di luar jaminan sayalah, tetapi mungkin ada perjanjian yang diwajibkan dalam Islam," katanya. 
 
 

Tiada ulasan: