Isnin, 21 September 2015

Ahli politik tanam idea, rakyat gali bom




Oleh Timmy Say


Ia bukan lagi RM2.6 bilion. Ia bukan lagi pembongkaran The Wall Street Journal (WSJ) terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Ia bukan berkisar pada kejatuhan nilai ringgit.Ia perkataan “tampar” – petikan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berbunyi: "Sekali tampar, kita tidak buat apa. Dua kali tampar...tidak buat apa... tiga kali tampar... tidak buat apa... tetapi empat kali tampar sudah melampaui batas. Orang Melayu ada hak juga."

Itulah hebatnya ahli politik yang pandai berpolitik. Rakyat kini tertukar gelanggang atau padang dan berbicara mengenai “tampar” dengan penuh emosi sehingga pudarnya isu derma RM2.6 bilion dan 1MDB di mulut rakyat.


Dengan hanya satu petikan yang sensasi dan kontroversi, bagaikan gula, semua media berpusu-pusu melaporkannya.

Terbau gula, ahli politik lain yang tidak mahu ketinggalan lalu terus terjun menambahkan api dengan reaksi mereka kepada kenyataan tersebut.

Media disibukkan lagi dengan laporan bertubi-tubi debat terhadap isu tersebut, dan begitulah seterusnya sehinggalah isu ‘tampar’ menjadi topik utama bacaan rakyat.

Hasilnya, perhatian rakyat berjaya dialihkan.

Teknik menanam idea di minda orang lain merupakan satu taktik politik yang tinggi. Ia boleh digunakan dalam pelbagai cara.

Sebagai contoh, sekiranya ada ‘move’ politik yang tidak sesuai digerakkan diri sendiri terhadap rakan sendiri, ahli politik yang mahir akan menanam idea ini di pihak musuh supaya pihak musuh yang bergerak untuk menyulitkan rakan sendiri.

Lihatlah cara Tun Dr Mahathir Mohamad melontarkan idea Najib mungkin ditangkap sekiranya beliau ke luar negara. Kepada siapa idea ini ditanam?

Ada pula ‘move’ politik yang sengaja dilakukan untuk menonjolkan diri sebagai orang baik umpama kata-kata ketua menteri Melaka yang menolak sebarang bentuk perkauman tatkala bekas ketua menterinya bertindak sebaliknya.

Di sebelah pembangkang, aktiviti menanam idea juga giat dijalankan agar rakyat terbeli satu-satu idea yang dicetuskan.

Bagi mereka yang menyokong kewujudan parti baharu, mereka sedang menanam idea di minda rakyat mengenai perlunya pakatan pembangkang yang baru, seeloknya tanpa PAS, untuk mengalahkan dengan BN.

Idea yang ditanam ialah PAS tidak mahu bekerjasama dengan DAP. Jarang dibangkitkan pula ialah fakta yang DAP tidak mahu bekerjasama dengan PAS.

Selain itu, idea yang paling digemari ditanam ialah, PAS kini “sudah”, “ada niat” atau “akan” bersama Umno.

Segala apa yang boleh digunakan untuk membangkitkan persepsi adanya hubungan politik PAS dengan Umno akan digunakan termasuklah gambar lawatan Najib ke Institut Jantung Negara (IJN) menjenguk keadaan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din.

Tidak dinafikan, idea yang ditanam ini kini menyubur di kalangan bukan Islam.

Cuma yang tidak terfikir penabur-penabur idea berkenaan ialah kesan sampingan kepada idea ini ialah jurang bukan Islam dan orang Islam semakin jauh kerana mereka dibawa ke satu sudut untuk mempertikaikan Umno dan PAS pada waktu yang sama – yang kebetulan masih mewakili majoriti suara orang Melayu-Islam di Semenanjung Malaysia.

Banyak juga idea yang cuba ditanam di dalam pelawaan PKR kepada PAS untuk berbincang mengenai Pakatan Rakyat 2.0. PKR dipercayai ikhlas dan PAS pun menerima yang mereka masih bertahaluf siyasi dengan PKR.

Masalahnya di sini, ada pihak yang cuba bertindak kejam terhadap PAS dengan cubaan menanam idea yang kehadiran PAS ialah pengisytiharan PAS menerima Amanah.

Sesiapa pun tahu, tiada parti induk yang boleh terima kerjasama dengan parti serpihannya. Umno dengan Semangat 46 tidak boleh. Umno dengan PKR tak boleh. PAS dengan Berjasa atau Hanim pun tidak boleh.

Mereka yang cuba memaksa keadaan ini berlaku seolah-olah memaksa seorang manusia bertindak di luar batas kewarasannya.

Semua sedar akan perkara ini, namun jika PAS enggan bertindak di luar batas kewarasan, maka idea yang ditanam ialah PAS memilih untuk bersendirian. Ia pelik tetapi benar.

Hakikatnya bagi mereka, penerimaan DAP dan PKR terhadap Amanah sahaja tidak cukup. Mereka memerlukan penerimaan PAS.

Tanpa PAS, bukan sahaja kerusi Amanah dalam bahaya, malah sebahagian kerusi PKR dan juga DAP akan berada dalam bahaya sekiranya pertandingan tiga penjuru berlaku di kawasan yang mempunyai majoriti undi Melayu. Ini kesan yang tiada siapa boleh jangka hari ini.

Hanya mereka yang mempunyai ego yang tinggi sahaja masih cuba menanam idea bahawa situasi ini menguntungkan pembangkang.

Namun di luar sana, idea yang cuba ditanam ialah PAS tidak penting dan semakin hilang sokongan.

Berita berkaitan dengan ahli PAS yang keluar PAS dibesarkan sebagaimana berita kawasan PAS yang tidak mencalonkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden sebelum muktamar dulu.

Gambaran palsu itu akhirnya makan diri pada mereka yang bergantung kepadanya.

Nampaknya situasi kini sedang berulang dengan berita ahli PAS yang keluar PAS dibesarkan di sebalik fenomena kemasukan ahli baru PAS dari kalangan pemuda-pemudi yang tidak disenyapkan.

Berhati-hatilah dengan idea yang ditanam para 'political animal', takut-takut yang digali rakyat ialah bom yang diceritakan sebagai ubi.

Tiada ulasan: