JOHOR BHARU, Sebuah agensi pelancongan tidak berlesen dipercayai telah melarikan lebih RM10 juta, selepas menipu lebih 20,000 mangsa di seluruh negara melalui media sosial.


Sindiket tersebut dikatakan menawarkan pakej pelancongan tidak sepadan dengan harganya serta memberi hadiah berupa sebuah telefon bimbit iPhone 6.

Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Jason Teah berkata, sindiket berkenaan didakwa turut menggunakan taktik menawarkan pakej makanan dan penginapan serendah RM2,600 setiap seorang.

“Dalam masa sama, sesiapa yang membeli empat pakej serentak, akan menerima sebuah iPhone 6 secara percuma dan boleh berlepas dari Singapura ke destinasi pilihan mereka,” katanya pada sidang media di Kelab Wartawan Cina Selatan di Jalan Maju, pada Rabu.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Pengerusi Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (Johor), Alvin Ho.

Teoh mendedahkan, tawaran pakej itu bermula serendah RM1,000 untuk destinasi melibatkan Asia Timur, termasuk China dan Jepun, manakala pakej berjumlah RM2,000 untuk destinasi ke Eropah.

Beliau berkata, sindiket tersebut mendakwa ia menawarkan pakej pada harga lebih rendah, dengan memotong komisen kepada orang tengah bagi tujuan penjimatan.

“Secara jujurnya, harga yang ditawarkan sindiket berpangkalan di Selangor itu boleh dikatakan sebagai mustahil,” katanya sambil menambah, tawaran pakej itu termasuk pemberian telefon bimbit percuma adalah satu penipuan.

Beliau turut menambah, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta persatuan ejen pelancongan telah dimaklumkan berhubung sindiket terbabit yang menjalankan operasi melalui laman sosial Facebook dan WeChat.

Teoh menjelaskan, beliau bercadang mengemukakan aduan kepada Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, sebelum membuat laporan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

“Saya gesa orang awam yang sudah tertipu dengan agensi ini supaya membuat aduan kepada biro kami, bagi membolehkan bantuan diberikan melibatkan kes ini.

“Setakat ini, kita telah kumpulkan 20,000 kes berdasarkan invois yang dikeluarkan agensi terbabit dan 
kami percaya ada lagi banyak kes seperti ini di seluruh negara,” katanya.

Semakan bersama polis Johor mendapati, ada beberapa laporan dibuat individu di negeri berkenaan yang ditipu sindiket tersebut.

Kes berkenaan kini dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor.