KOTA KINABALU - Kementerian Pendidikan Tinggi menyasarkan untuk menarik
200,000 pelajar asing melanjutkan pelajaran di pelbagai institusi
pengajian tinggi awam dan swasta negara ini menjelang tahun 2020, kata
Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau berkata, ketika ini jumlah pelajar asing yang melanjutkan
pelajaran di Malaysia dalam pelbagai bidang ialah seramai 150,000 orang
termasuk 27,000 yang mengambil ijazah lanjutan, serta menyumbang RM4.5
bilion setahun kepada pendapatan negara.
"Pada 2020, sumbangan pelajar asing kepada negara kita dijangkakan mencecah RM10 bilion," katanya.
Idris berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program
Jelajah Kementerian Pendidikan Tinggi: "Soaring Upwards" di sini hari
ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain
Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Ir.
Dr Zaini Ujang.
Sempena program itu, pelbagai data dan maklumat mengenai pencapaian
sistem pendidikan tinggi dan kecemerlangan universiti awam dan swasta
Malaysia di peringkat antarabangsa dikongsikan dengan hadirin.
Turut diselitkan penampilan kejayaan bekas pelajar universiti, Kolej
Komuniti dan Politeknik di Sabah yang sedang mencipta nama dalam
pelbagai bidang kerjaya.
Menurut Idris, minat pelajar asing untuk melanjutkan pelajaran di
negara ini didorong keupayaan universiti di Malaysia berada antara
universiti terbaik di dunia seperti dalam penyelidikan termasuk bidang
tenaga, kejuruteraan dan sistem kewangan Islam.
Sebagai contoh, katanya, daripada segi subjek, QS World University
Rankings meletakkan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti
Malaya (UM), masing-masing pada kedudukan 31 dan 32 dunia dalam subjek
Pengajian Pembangunan dan Sains Persekitaran manakala Universiti Putra
Malaysia (UPM) pula berada di kedudukan 54 dunia dalam subjek Sains
Pertanian.
Katanya, USM, UM, Universiti Teknologi Malaysia dan UPM juga berada
pada kedudukan 100 terbaik dunia daripada segi subjek bagi lebih
daripada 10 bidang pengajian lain.
Mengenai program jelajah itu, Idris berkata program itu akan diteruskan
ke bandar utama di seluruh negara bagi menjelaskan dan berkongsi
maklumat dengan rakyat mengenai pencapaian pendidikan tinggi Malaysia di
dalam dan luar negara. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan