Khamis, 15 Januari 2015

Peminat pertahan kumpulan K-Pop, Malaysia dikecam masyarakat antarabangsa

OLEH DIYANA IBRAHIM DAN MELATI A. JALIL


Adegan 'peluk dan cium' sebuah kumpulan K-Pop dengan beberapa gadis Melayu menimbulkan kontroversi apabila video itu tersebar luas dalam media sosial. – Gambar daripada video YouTube. Adegan 'peluk dan cium' sebuah kumpulan K-Pop dengan beberapa gadis Melayu menimbulkan kontroversi apabila video itu tersebar luas dalam media sosial. – Gambar daripada video YouTube.  


Masyarakat antarabangsa mengecam Malaysia ekoran reaksi keterlaluan pihak berkuasa negara yang mahu menghukum gadis Melayu‎ terbabit dengan adegan "peluk dan cium" ‎ pada konsert kumpulan K-Pop B1A4 Korea Selatan yang diadakan pada Sabtu lepas.

Selain itu, Malaysia dikecam kerana menyalahkan artis terbabit dan menuduh pengaruh budaya K-Pop sebagai punca kepada gejala pemesongan akidah remaja Islam di negara ini.

‎Ia diakui oleh salah seorang peminat artis K-Pop yang turut menghadiri konsert berkenaan yang menyatakan ia kini menjadi bualan hangat yang sedang dibincangkan oleh masyarakat di luar terutama di Korea Selatan.


"Ia sudah menjadi topik hangat ‎malah ada satu artikel yang dikeluarkan dalam bahasa Korea menceritakan kebencian mengenai Islam," katanya kepada The Malaysian Insider.

 Konsert artis K-Pop itu mula mencetuskan kontroversi ‎apabila portal Sukan Star memuat naik video tersebut dengan meletakkan tajuk "perempuan Melayu dicabul atas pentas oleh mat kpop semalam" kemudiannya menjadi viral di laman sosial.‎

Dalam video tersebut memaparkan adegan peluk dan cium di dahi oleh tiga ahli kumpulan K-Pop bersama tiga gadis Melayu.

Ia menimbulkan kemarahan daripada masyarakat Islam terutama apabila badan bukan kerajaan (NGO) Melayu mendakwa hiburan K-Pop merosakkan akidah remaja Islam malah ada yang mengaitkan dengan agenda Kristianisasi.

Ekoran daripada desakan itu menyebabkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mula mengambil tindakan dengan mengheret isu tersebut di mahkamah.

Lebih daripada itu kenyataan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengenai isu terbabit juga turut menimbulkan perasaan kurang senang masyarakat Korea.

Menurut seorang lagi peminat K-Pop, kenyataan Khairy itu dianggap sebagai keterlaluan dan bersifat perkauman oleh masyarakat Korea.

Khairy dalam laman Twitternya menulis status sindiran meminta gadis Melayu kembali kepada lelaki tempatan daripada meminati lelaki Korea dipercayai sebagai reaksinya selepas video konsert itu menjadi viral.

"Masalahnya bukan diorang minta untuk jadi pucat dan kurus itu memang mereka punya keturunan dan mereka rasa kenyataan Khairy itu bersifat perkauman.” kata gadis yang mahu dikenali sebagai Siti.

Sebagai salah seorang peminat yang meminati muzik K-Pop, Siti menyatakan kesal apabila pengaruh kumpulan artis Korea itu didakwa kononnya tidak memberi kesan baik kepada remaja Islam.

“Benda ini memberi kesan kepada semua peminat musik K-pop, mereka kata kami tidak rasiona tapi bila pihak lain melakukan benda yang sama, kenapa tidak diambil tindakan,” soalnya sambil memberi contoh adengan seorang artis Malaysia berpelukan diatas pentas pada minggu sama namun tidak diambil tindakan.

Kenyataan Siti itu merujuk kepada penyanyi wanita tempatan, Ifa Raziah yang berpelukan dengan artis, Hisham Hamid ketika mengadakan persembahan dalam pertandingan akhir rancangan "Gegarvaganza" Selasa lalu.

"Bagi saya, memang apa yang berlaku salah memang mereka buat salah, tapi pihak berkuasa tidak boleh pandang dari sudut itu sahaja.

"Mereka perlu melihat juga sudut lain seperti tanyangan drama di televisyen, banyak memaparkan aksi perempuan lelaki perempuan takkan tak mahu diambil tindakan?” katanya turut mengakui pernah mengalami perasaan teruja apabila bertemu artis yang diminati.


“Ada sahaja peminat Muslim yang pandai menjaga batas dan artis K-Pop juga menghormati pendirian mereka, ada peminat menjaga solat apabila menghadiri program-program ini kami masih tahu batasan lagi," katanya lagi.

Siti yang meminati salah sebuah kumpulan K-Pop ‘BEAST’, berkata beliau setakat ini tidak pernah menghadiri konsert berbayar kerana kekangan duit dan masa, sebaliknya hanya menghadiri konsert percuma yang disediakan.

Waran tangkap pihak berkuasa tidak adil

Bagi gadis bernama Lily ini berpendapat ‎tindakan yang mahu dikenakan kepada gadis Melayu terbabit adalah tidak adil kerana pihak berkuasa hanya menghakimi berdasarkan rakaman di internet.

“Sekarang dunia tidak tengok budak-budak itu, tapi dunia tengok negara dan agama kita.”

“Apa beza benda yang jadi dengan drama-drama yang ada di Malaysia.” katanya.

Pernah mengunjungi negara Korea Selatan sebanyak tiga kali Lily berkata, masyarakat selalu menghakimi pengaruh K-Pop berdasarkan luaran sahaja, namun tidak bahawa budaya Korea itu sendiri kaya dengan nilai keadaban dan kesopanan yang tinggi.


Gadis itu memberi contoh dengan menceritakan pengalamannya melawat di negara terbabit apabila melihat dengan mata sendiri seorang lelaki tua akan memberikan tempat duduk kepada yang lebih tua dan tidak bersikap pentingkan diri ‎semasa di dalam tren.


Akui Lily kali pertama mengunjungi Korea Selatan adalah kerana minatnya kepada K-Pop, namun kunjungan yang seterusnya adalah untuk lebih mengenali budaya masyarakat Korea.

Lily yang meminati musik K-Pop sejak tahun 2004 berkata akan sanggup membeli tiket meskipun mahal untuk membolehkannya mendapat tempat di barisan hadapan sekiranya begitu meminati sesebuah kumpulan muzik K-Pop,

Namun Lily berkata dirinya masih menjaga batasan sebagai seorang Muslim dan wanita dimana turut percaya ia juga sama kepada peminat Muslim lain.

“Pernah berlaku sebelum ini ada seorang peminat disuruh menari namun peminat tersebut kata dia tidak boleh lakukan perkara sebegitu kerana beliau memakai tudung dan artis itu menghormati keputusan peminat tersebut," katanya.

Jangan salahkan artis Korea

Menceritakan pengalamannya sendiri yang melihat adegan tersebut Fara berkata jelas pada konsert tersebut, kumpulan penyanyi berkenaan meminta kebenaran terlebih dahulu daripada gadis tersebut untuk meneruskan aksi "parodi" romantis daripada drama negara tersebut.

"Mereka (BIA4) bukan tidak tahu mengenai budaya Malaysia, kerana sudah diterangkan oleh penganjur sebelum ini, kerana itu kumpulan terbabit meminta kebenaran kepada gadis tersebut terlebih dahulu sebelum memulakan aksi dan mereka (gadis) bersetuju," katanya kepada The Malaysian Insider.

Justeru itu katanya apabila ada yang menuduh kumpulan K-Pop tersebut cuba mencabul gadis Melayu, Farah berasa kecewa apabila laporan tersebut bukan sahaja tidak adil namun tidak menggambarkan apa sebenarnya berlaku pada malam tersebut.

"Bagi acara perjumpaan bersama peminat ‎ia sudah jadi kebiasaan apabila sesuatu permainan direka oleh penganjur untuk artis bersama peminat," katanya.

Bagaimanapun katanya ia tidaklah sampai ke tahap yang begitu intim, kerana akuinya adegan mesra jarang sekali berlaku dalam konsert membabitkan artis K-Pop sebelum ini.

"Ini pertama kali seingat saya adanya adegan begini, tetapi kalau kita cerita pasal berpeluk itu jujur saya katakan biasa berlaku.

"Saya rasa kerana penganjur menampilkan konsep parodi romantis dari drama Korea jadi adegan yang lihat di pentas adalah spontan dan B1A4 ‎mungkin cuba lakukan terbaik untuk menggembirakan peminat," katanya sambil mengakui ia tidak akan menjadi isu besar sekiranya ia membabitkan gadis Melayu tidak bertudung.

Tiada ulasan: