Azuan Ab Rahman
PETALING JAYA - KEADILAN mempertikai keputusan Mahkamah Tentera
memecat Mejar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Zaidi Ahmad selepas
didapati bersalah kerana mendedahkan masalah dakwat kekal dalam Pilihan
Raya Umum 2013.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, hukuman
dijatuhkan terlalu berat dan tidak setimpal berbanding rekod cemerlang
perkhidmatan 26 tahun pegawai Pemerintah No 12 Skuadron TUDM Butterworth
itu.
“Mejar Zaidi adalah seorang Pegawai pemerintah skuadran, dia telah
berkhidmat dengan cemerlang dan mendapat pelbagai pingat penghargaan
selain pernah berkhidmat di Bosnia.
“Apa yang berlaku dalam kes ini, Dia sebenarnya mendapati dakwat yang
digunakan dalam pilihanraya lalu tertanggal dengan mudah, sedangkan SPR
mendakwa ia boleh kekal.
“Sebagai pegawai tentera, dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena,
dia telah ambil tanggungjawab membuat laporan kepada polis, namun
sebaliknya terjadi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN
semalam.
Menurut Johari, pihak tentera sepatutnya menyiasat dakwa berkenaan, tetapi malangnya Zaidi didakwa di Mahkamah.
“Kalaulah ada sekali pun kesalahan yang dilakukan, ia terlalu kecil berbanding hukuman yang diberikan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Johari mendesak Menteri Pertahanan, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein campur tangan dalam keputusan kes tersebut
memandangkan apa yang dilaporkan Zaidi diakui sendiri oleh Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Pengerusi SPR sendiri mengakui ada kelemahan pada dakwat kekal,
maknanya jika pengerusi sendiri mengakui ada kelemahan, apa yang didakwa
oleh Zaidi adalah betul, beliau bukannya mendedahkan rahsia kerajaan
atau rahsia pertahanan.
“Jadi saya tuntut Menteri Pertahanan campur tangan dalam kes ini bagi
memastikan keadilan dapat dilaksana, jika gagal kerajaan hanya akan
dilihat mempunyai tangan ghaib dalam memuktamatkan keputusan itu,”
jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Seri Abdul Hadi
Abdul Khatab berpendapat hukuman yang dikenakan tidak sejajar dengan
tuduhan terhadap Zaidi.
“Ini satu ketidakadilan, ia satu penganiayaan terhadap Zaidi dan
keluarganya, tindakan ini hanya memberi gambaran ketidak mampuan
angkatan tentera menegakkan keadilan. Kita perlu jaga kredibiliti ATM
supaya tidak dilihat boleh dipermainkan,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan