Jumaat, 16 Januari 2015

'Lapor polis, jangan cakap dengan media'

MALAYSIAKINI


 


Mejar Zaidi Ahmad menasihati rakan-rakan dalam pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia supaya mengambil teladan daripada hukuman buang kerja yang dikenakan ke atasnya.

Katanya, mereka tidak harus bercakap kepada media selepas membuat laporan polis jika mengesan perkara yang tidak kena dalam perjalanan pilihan raya.

Jelasnya, beliau dipecat dari TUDM kerana memberi kenyataan media dan bukan kerana laporan polis yang dibuat berkenaan dakwat kekal.

"Kepada anggota-anggota keselamatan, buatlah laporan polis jika anda rasakan ada yang tidak kena.

"Tapi, janganlah bercakap kepada media.

"Tampal pelekat di mulut anda dan media pula janganlah tanya soalan.

"Dapatkan salinan laporan tersebut dan anda boleh merakam gambar individu berkenaan.

"Itu sahaja," kata Zaidi pada forum 'Padah kerana benar, Bebas kerana salah' anjuran BERSIH2.0 di ibu negara pada malam tadi.

Kenyataannya itu disambut dengan ketawa kecil daripada kira-kira 300 orang hadirin forum namun bekas pegawai TUDM itu tetap serius.

"Bukan semua orang tahu hak mereka," katanya.

Tanggungjawab sebagai Muslim

Mengimbas kembali laporan polis tentang dakwat kekal yang dibuatnya pada 1 Mei 2013, Zaidi berkata ia dibuatnya kerana didorong oleh tanggungjawab sebagai seorang Muslim yang tidak boleh bersekongkol dengan penipuan.

Ia dipercayai merujuk kepada kontroversi dakwat kekal yang digunakan buat pertama kali dalam pilihan raya umum dan didapati mudah ditanggalkan pada hari sama ia dicalit ke jari pengundi.

"Saya seorang Muslim. Saya tidak boleh jadi sebahagian daripada pembohongan. Jadi saya mesti bercakap benar," katanya.

Bercakap buat pertama kalinya dalam forum terbuka, Zaidi memberitahu ada di antara rakan sekerjanya dipanggil pihak atasan hanya kerana menyukainya laman Facebook  "Sokong Mejar Zaidi TUDM".

Namun, Zaidi lebih kesal apabila pihak atasan TUDM dilihat mengamalkan sikap memilih buli dalam menghukum individu yang dikatakan bersalah memberi kenyataan media tanpa izin Majlis Angkatan Tentera.

Menurutnya, ada di kalangan pegawai tentera dan pasangan mereka yang didapati pernah muncul dalam rancangan TV realiti dan dirakam bercakap kepada media.

"Saya tak rasa mereka ini ada pelepasan untuk berbuat demikian.

"Tetapi ia ada kena mengena dengan perkara yang anda cakapkan kepada media.

"Sama ada ia sesuatu yang 'mereka' sukai atau tidak," katanya kepada wartawan sewaktu ditemui seusai forum.

Tiada ulasan: