Khamis, 15 Januari 2015

Kes Mejar Zaidi: KEADILAN desak Menteri Pertahanan campur tangan

Azuan Ab Rahman


PETALING JAYA - KEADILAN mempertikai keputusan Mahkamah Tentera memecat Mejar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Zaidi Ahmad selepas didapati bersalah kerana mendedahkan masalah dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum 2013.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, hukuman dijatuhkan terlalu berat dan tidak setimpal berbanding rekod cemerlang perkhidmatan 26 tahun pegawai Pemerintah No 12 Skuadron TUDM Butterworth itu.

“Mejar Zaidi adalah seorang Pegawai pemerintah skuadran, dia telah berkhidmat dengan cemerlang dan mendapat pelbagai pingat penghargaan selain pernah berkhidmat di Bosnia.

“Apa yang berlaku dalam kes ini, Dia sebenarnya mendapati dakwat yang digunakan dalam pilihanraya lalu tertanggal dengan mudah, sedangkan SPR mendakwa ia boleh kekal.

“Sebagai pegawai tentera, dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena, dia telah ambil tanggungjawab membuat laporan kepada polis, namun sebaliknya terjadi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN semalam.

Menurut Johari, pihak tentera sepatutnya menyiasat dakwa berkenaan, tetapi malangnya Zaidi didakwa di Mahkamah.

“Kalaulah ada sekali pun kesalahan yang dilakukan, ia terlalu kecil berbanding hukuman yang diberikan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Johari mendesak Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein campur tangan dalam keputusan kes tersebut memandangkan apa yang dilaporkan Zaidi diakui sendiri oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Pengerusi SPR sendiri mengakui ada kelemahan pada dakwat kekal, maknanya jika pengerusi sendiri mengakui ada kelemahan, apa yang didakwa oleh Zaidi adalah betul, beliau bukannya mendedahkan rahsia kerajaan atau rahsia pertahanan.

“Jadi saya tuntut Menteri Pertahanan campur tangan dalam kes ini bagi memastikan keadilan dapat dilaksana, jika gagal kerajaan hanya akan dilihat mempunyai tangan ghaib dalam memuktamatkan keputusan itu,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Seri Abdul Hadi Abdul Khatab berpendapat hukuman yang dikenakan tidak sejajar dengan tuduhan terhadap Zaidi.

“Ini satu ketidakadilan, ia satu penganiayaan terhadap Zaidi dan keluarganya, tindakan ini hanya memberi gambaran ketidak mampuan angkatan tentera menegakkan keadilan. Kita perlu jaga kredibiliti ATM supaya tidak dilihat boleh dipermainkan,” tegasnya.

Tiada ulasan: