Roketkini.com
JOHOR BAHRU: DAP Johor mempersoalkan sama ada
peruntukan RM 1.8 juta diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled
Nordin bertujuan ‘menutup mulut’ 1,800 nelayan kawasan Johor selatan
yang terjejas teruk akibat pembangunan projek mega.
ADUN Bekok Lim Eng Guan dan AJK DAP negeri Mahdzir Ibrahim
dalam satu kenyataan bersama berkata, sekiranya pemberian insentif khas
dibuat berdasarkan isu tersebut, jelas ia merupakan satu keputusan yang
tidak munasabah.
“Apakah justifikasi kerajaan negeri membuat pemberian ini?
Adakah ia insentif khas atau pemberian ehsan kepada golongan nelayan
selatan Johor yang terjejas teruk akibat pembangunan projek mega?
“Apa pun istillah digunakan, langkah ini jelas sekali tidak
memadai. Malah menunjukan kerajaan negeri mengambil mudah dengan
langkah simplistik yang hanya memberi kesan jangka pendek,” kenyataan
tersebut dipetik.
Mohamed Khaled dalam pembentangan belanjawan 2015 di Dewan
Undangan Negeri Johor minggu ini mengumumkan peruntukan RM 1.8 juta
kepada 1,800 nelayan di kawasan Johor.
Difahamkan insentif RM 1,000 akan diserahkan kepada nelayan
1,800 nelayan, namun tidak ada pemberitahuan sama ada pemberian akan
dibuat secara berperingkat atau mengikut kumpulan.
Sebelum ini DAP Johor menuntut pemaju Forest City dan
Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) menjelaskan pelan pampasan kepada
kumpulan nelayan yang terjejas akibat projek tambakan tanah seluas
kira-kira 4,000 ekar di perairan Selat Johor.
Kerajaan negeri mengenakan caj rm 0.30 bagi sekaki persegi
tanah ditambak, dan hasil jualan tanah yang dijangka melebihi RM 104
juta akan digunakan untuk membantu kumpulan nelayan.
“Memandangkan lebih tiga bulan penguatkuasaan berjalan, berapa hasil terkumpul setakat ini?
“(Perkara) ini juga mendatangkan persoalan sama ada wang RM
1,000 diambil dari kutipan caj
Tabung Nelayan yang ditubuhkan itu atau
dari peruntukan lain,” soal kenyataan tersebut.
Dalam konteks belanjawan negeri, adalah wajar kerajaan
menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi mengatasi masalah ini secara
menyeluruh dan berstruktur.
Tambah kenyataan tersebut, kerajaan negeri seharusnya
menjalinkan kerjasama dengan agensi antaranya Lembaga Kemajuan Ikan
Malaysia (LKIM) atau Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).
“Malah Iskandar Regional Development Authority (IRDA)
sendiri boleh membantu untuk merancang dan melaksanakan agenda ekonomi,
khusus bagi kumpulan nelayan.
“Tetapi dengan pemberian sekali RM 1,000 kepada nelayan,
apakah kesan jangka panjang yang boleh diharapkan oleh pihak kerajaan
negeri?
“Nelayan mengharapkan ‘pancing’, tetapi yang diberi adalah ikan,” tegas kenyataan tersebut. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan