MALAYSIAKINI
MP DAP, Tony Pua mendakwa BN cuba menutup mulutnya daripada terus
membangkitkan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melalui usul untuk
merujuknya ke jawatankuasa hak dan kebebasan Parlimen.
Pua bagaimanapun menganggap perkara itu sebagai “peluang keemasan” bagi
membolehkan beliau mengemukakan kesnya berhubung skandal itu.
"Jika saya diheret ke jawatankuasa hak, saya ada peluang keemasan untuk
membentangkan semua bukti relevan mengenai skandal 1MDB,” tambahnya.
MP Petaling Jaya Utara itu merujuk kepada laporan berhubung usaha
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan MP Lenggong, Shamsul
Anuar Nasarah untuk mengambil tindakan itu ke atasnya.
MP BN tersebut mendakwa Pua mengelirukan Dewan ketika perbahasan Bajet
2015 untuk Kementerian Kewangan di peringkat jawatankuasa.
Pua yang menangkis tuduhan tersebut berkata, menteri atau timbalan
menteri terbabit sepatutnya mengambil peluang untuk membetulkan keadaan
ketika perbahasan jika beliau benar-benar membangkitkan fakta
mengelirukan.
“Sebaliknya, (timbalan menteri kewangan) Datuk Chua Tee Yong yang
ditugaskan menggulung perbahasan Kementeri Kewangan mengelak isu 1MDB
seolah-olah ia satu wabak dan enggan menjawab apa-apa soalan yang saya
bangkitkan semasa ucapan saya,” katanya.
Pua berkata, fakta dan angka yang disebutnya dalam perbahasan itu dipetik dari sumber awam yang disahkan dan boleh dipercayai.
“Maka, saya mempertahankan keseluruhan ucapan saya. Saya mengalu-alukan
sebarang usaha dari wakil BN untuk memfailkan usul ke atas saya dengan
dakwaan bahawa saya mengelirukan Dewan.
“Usul itu secara asasnya, ada usaha untuk mendiamkan saya dalam isu hutang 1MDB,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan