MALAYSIAKINI
Seorang peniaga hari ini menang dalam samannya terhadap Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung pembelian sebuah kereta curi dalam
lelongan awam jabatan itu, enam tahun lepas.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rozana Ali Yusoff memerintahkan JPJ
membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM76,835 kepada Mohd Iskandar
Idris, selaku plaintif.
Dalam penghakimannya, beliau berkata JPJ telah gagal menguruskan penjualan secara tender hingga menyusahkan plaintif.
Mohd Iskandar, 32, memfailkan saman terhadap Adenan Md Isa, Penolong
Pengarah JPJ Selangor, Ketua Pengarah JPJ dan kerajaan Malaysia sebagai
defendan pertama hingga ketiga.
Dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan 12 September 2012 menerusi
Tetuan Hakimi & Partners, Mohd Iskandar berkata pada 31 Oktober 2008
beliau membeli sebuah kereta Perodua Kancil pada harga RM1,250 dalam
satu lelongan awam yang dijalankan JPJ di Jalan Padang Jawa, Seksyen 16,
Shah Alam.
Beliau mendakwa diberitahu oleh JPJ bahawa kereta itu adalah sah untuk
dimiliki dan hak milik boleh ditukar kepada namanya tanpa sebarang
masalah.
Namun pada 14 September 2009, plaintif ditahan polis atas alasan
memiliki kereta curi dan digari di khalayak ramai ketika berniaga
menjual minuman di sebuah pasar Ramadan.
Beliau kemudiaan dibawa ke Balai Polis Seapark, Petaling Jaya, untuk soal siasat.
Dalam saman itu, Mohd Iskandar mendakwa beliau terkejut apabila
diberitahu polis bahawa kenderaan yang dibeli adalah kenderaan curi
walhal beliau membelinya dalam lelongan awam yang dijalankan JPJ.
Beliau dibebaskan dengan jaminan polis setelah polis berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan sebelum kenderaan itu disita.
Mohd Iskandar berkata beliau sempat mendapatkan semula kereta itu tetapi
ia sudah dileraikan semasa dalam penyimpanan dan perlu dibaiki.
Plaintif menuntut RM12,335 untuk ganti rugi khas, kos, dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan