Sabtu, 15 November 2014

Fahmi Zainol: UIA ambil tindakan setelah didesak Kerajaan

 
Tindakan kerajaan itu 'double standard', mereka sepatutnya terima pandangan mahasiswa

Fahmi Zainol_2


PETALING JAYA: Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Fahmi Zainol berkata tindakan lembaga tatatertib Universiti Islam Antarabangsa (UIA) memanggil ketua kumpulan Pro Mahasiswa UIA (Pro-M), Mujahid Sulaiman hanya dilakukan setelah mendapat tekanan daripada kerajaan.

Beliau yang percaya pihak UIA tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak didesak pihak kerajaan berkata baginya (Fahmi) pihak Universiti tidak mempunyai masalah sekiranya mahasiswa ingin bersuara.

“Ia merupakan tindakan yang ‘double standard’, sepatutnya mereka menerima pandangan daripada mahasiswa dan perbincangan adalah cara yang paling sesuai. Tidak sepatutnya tindakan terus diambil atas kesalahan yang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.

Tambah Fahmi, pihak universiti seharusnya membuat keputusan sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada desakan kerajaan semata-mata dengan menghalang kebebasan mahasiswa.

UIA mendakwa Mujahid atas kesalahan menyertai dan memberi ucapan di majlis pidato umum “Anwar Ibrahim: 40 tahun dari UM ke penjara” di kampus Universiti Malaya (UM), Lembah Pantai baru-baru ini.

Mujahid juga merupakan pelajar tunggal UIA yang didakwa UIA atas kesalahan tersebut, manakala di UM, lapan pelajar didakwa, termasuk Fahmi.

Pada masa sama, Fahmi memberitahu bahawa prosiding tatatertibnya di bawah kaedah-kaedah Universiti Malaya akan ditangguhkan ke 9 Disember, pukul 9 pagi di Bilik Mesyuarat Perdana, Universiti Malaya.

Pada malam ini, Fahmi akan mengadakan ‘jelajah mahasiswa’ di Universiti Utara Malaysia (UUM), diikuti esok (Sabtu) di Universiti Sains Malaysia (USM) dan di Universiti Teknologi Mara (UiTM Pulau Pinang).

Sementara itu,Fahmi, melalui Facebooknya memberitahu bahawa salah seorang mahasiswa UUM dan juga Pengerusi Transformasi Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (TMUUM), Mohd Fitri baru sahaja ditahan di IPD Bukit Kayu Hitam kerana menganjurkan pidato yang bakal berlangsung di UUM malam ini.

Tiada ulasan: