Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang (kanan) ketika menerima kunjungan hormat daripada Naib Presiden Eksekutif Mahkamah Agung China, Shen Deyong di Bilik DiRaja di Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang (kanan) ketika menerima kunjungan hormat daripada Naib Presiden Eksekutif Mahkamah Agung China, Shen Deyong di Bilik DiRaja di Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR - China mengulangi komitmen untuk terus membantu mencari dan mengesan MH370 yang hilang sejak Mac lepas. 

Komitmen itu disampaikan Naib Presiden Eksekutif Mahkamah Agung China, Shen Deyong sewaktu mengunjungi Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di bangunan Parlimen hari ini.

Abu Zahar berkata, Shen Deyong yang mengetuai anggota delegasi sembilan orang itu turut meluahkan rasa simpati dan sedih di atas kehilangan pesawat tersebut.   

"Shen memberitahu negaranya akan sentiasa membantu Malaysia (mencari pesawat). Beliau juga berkata kejadian itu sebagai misteri dan boleh berlaku kepada mana-mana negara," katanya kepada Bernama selepas kunjungan itu.
 
Penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.
 
Usaha mencari pesawat masih diteruskan di selatan Lautan Hindi, kawasan penerbangan pesawat dipercayai berakhir.
 
Abu Zahar berkata dalam pertemuan selama sejam itu, turut dibincangkan ialah langkah untuk mempertingkatkan lagi hubungan baik antara Malaysia dan China termasuk membuka lebih banyak peluang ekonomi antara kedua-dua negara.
 
"Shen Deyong berkongsi bagaimana cara mereka mentadbir negara dan ekonomi dengan jumlah rakyat yang begitu ramai. Perkongsian ini boleh membantu Malaysia melakukan transformasi dalam usaha memajukan ekonomi negara," katanya. - Bernama