Isnin, 24 November 2014

3 DUN agih baucer Anak Masuk Sekolah kepada 1,700 peserta TAWAS

Oleh: LIZAWATI MADFA


KLANG: Lebih 1,700 anak Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) hari ini diraikan dalam program pemberian baucer Anak Masuk Sekolah membabitkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sementa, Meru dan Sepinang.

Penerima bersama ibu bapa dan keluarga turut ditemani wakil rakyat kawasan masing-masing antaranya ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi dan ADUN Meru, Dr Abdul Rani Othman.

Daroyah yang juga Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga berkata, program yang dilaksanakan itu bukti Kerajaan Negeri menunaikan janji melalui TAWAS.

“Jadi, kita harap mereka yang masih belum mendaftar untuk berbuat demikian sama ada melalui ketua kampung, pejabat khidmat DUN atau secara atas talian.

“Diharap anak yang lahir di Selangor tidak terlepas peluang seperti ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau yang bergegas daripada program lain di Sepang sebelum itu sempat berbual mesra dengan kanak-kanak dan ibu bapa.

Pada masa sama, beliau juga sempat mempromosikan program kebajikan lain di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) kepada pengunjung seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Pada 16 November lalu, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali merasmikan Program Bantuan Masuk Sekolah untuk anak TAWAS di pasaraya Econsave, KL Festival City.

Seramai 21,298 ahli TAWAS kelahiran 2008 akan menerima bantuan ini secara berperingkat melalui beberapa pasaraya di setiap DUN dengan peruntukan lebih RM 1 juta.

TAWAS adalah bantuan khusus untuk anak yang dilahirkan di Selangor dengan caruman RM1,500 yang boleh dituntut apabila mereka genap 18 tahun.-NFN-

Tiada ulasan: