Selasa, 25 Mac 2014

Wan Junaidi setuju padam kenyataan dari hansard

MALAYSIAKINI


 


Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Junaidi Jaafar bersetuju sebahagian kenyataannya tentang statisitk rogol di bawah umur pada 18 Januari lalu yang menimbulkan pelbagai reaksi, dipadamkan dari hansard Parlimen.

Beliau berkata demikian selepas ditanya oleh Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia jika beliau mahu meminta maaf kepada sidang Dewan Rakyat berhubung kenyataannya itu.

Sebelum itu, Chong Chien Jin (DAP - Bandar Kuching) mengusulkan agar Wan Junaidi (BN - Pensiangan) dirujuk ke jawatankuasa khas Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12).

Usul itu bagaimana pun ditolak Pandikar kerana berpendapat Wan Junaidi membentangkan fakta semata-mata dan beliau tidak berniat jahat sewaktu mentafsirkan fakta tersebut.

Lanjutan itu, Chong mencadangkan agar sebahagian daripada kenyataan Junaidi sebelum ini dipadam dari rekod Parlimen.

"Jadi, kalau nak minta maaf Tan Sri (Pandikar) saya tak hendak, tetapi kalau yang dicadang YB Chong (agar) satu ayat dibuang dari hansard, saya setuju, bagi melegakan keadaan," kata Wan Junaidi.

Kenyataan yang dipersetujui Wan Junaidi untuk dibuang dari hansard Parlimen adalah seperti berikut:

"Sebenarnya, oleh kerana orang Melayu sensitif sangat kepada kes-kes seks di antara belia ini, maka laporan mesti dibuat oleh pihak-pihak ini dan pihak lain mungkin kurang sensitif kepadanya maka nisbahnya dapat diterima."

Pandikar kemudiannya menasihatkan semua pihak agar mengambil pengajaran daripada peristiwa tersebut.

"Yang Berhormat, perkara ini selesai, ambil iktibar daripada perkara ini," kata Pandikar.

Tiada ulasan: