Selasa, 18 Mac 2014

Wan Azizah Sangkal Ditolak Pengundi Melayu

Wan Azizah menegur kanak-kanak dari Sekolah Rendah Agama Sungai Sekamat semasa berkempen di Taman Sg Sekamat, Kajang.

Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK 


KAJANG: Memasuki pusingan kedua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah menyangkal dakwaan kononnya beliau ditolak pengundi Melayu di kawasan berkenaan.

Menegaskan mampu meningkatkan sokongan pengundi Melayu berbanding pilihan raya Mei tahun lalu, Wan Azizah berkata sambutan dingin orang Melayu ketika ceramah anjuran jenteranya tidak boleh dijadikan ukuran sokongan pengundi.

"Alhamdulillah sokongan baik di kalangan pengundi Melayu.

"Tapi kita tetap perlu berusaha lebih...kempen rumah ke rumah. Itu sasaran kita sekarang," katanya ketika ditemui sewaktu berkempen di Sungai Kantan di sini, Selasa.

Beliau diminta mengulas mengenai kehadiran pengundi dan penyokong Pakatan Rakyat yang berkurangan khususnya di kawasan majoriti Melayu.

Bagaimanapun diakui bahawa ceramah Pakatan Rakyat menerima kehadiran penyokong yang memberangsangkan di kalangan pengundi Cina dan India.

Sejak beberapa hari lalu penceramah Barisan Nasional (BN)  menggunakan isu sokongan pengundi Melayu terhadap Wan Azizah sebagai modal kempen apabila mendakwa masyarakat berkenaan kecewa dengan agenda 'langkah Kajang' yang dirancang Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mengulas lanjut Wan Azizah berkata, jentera Pakatan Rakyat yang diketuai PKR kini memasukan fasa yang lebih agresif dalam usaha meraih undi.

Katanya walaupun keadaan cuaca yang kadang-kadang hujan di sekitar kawasan Kajang sejak beberapa hari lalu, tetapi ia tidak menghalang jenteranya daripada terus bergerak mendekati pengundi.

"Sambutan bagus. Walaupun semalam hujan...aktiviti terbatas sedikit.

"Tapi tetap perlu pergi rumah ke rumah. Saya kira hingga tahap ini mesej kita sudah sampai," katanya.

Menerusi PRK DUN Kajang, Wan Azizah dicabar dalam saingan satu lawan satu antara wakil BN, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Tiada ulasan: