Selasa, 18 Mac 2014

Umno bodohkan Melayu, kata Dr Siti Mariah


Dr Siti Mariah Mahmud turut mendakwa bahawa Umno kin mengaplikasi sentimen perkauman.
Dr Siti Mariah Mahmud
 
KAJANG:  Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud  (gambar) mendakwa masyarakat Melayu hari ini semakin menolak kepimpinan Umno kerana parti tersebut mengapikan sentimen perkauman dan membelakangkan masyarakat Melayu.

“Umno mendakwa bahawa mereka yang menyebabkan rakyat bersatu tetapi akhir-akhir ini mereka yang membangkitkan semangat perkauman,” kata Dr Siti Mariah.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat berkata demikian dalam ceramah pilihan raya kecil Dun Kajang di Sungai Chua malam tadi.

Berucap di hadapan kira-kira 150 orang pengundi yang kebanyakannya dari masyarakat Cina, Dr Siti Mariah merujuk kepada isu video “Onederful Malaysia” yang diterbitkan oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok sempena Tahun Baru Cina baru-baru ini.

“Mereka berkata bahawa video tersebut menghina Melayu, Islam dan Raja-raja Melayu dan terdapat 200 laporan polis. Saya tonton video itu dan membaca sari kata. Ia tidak menghina langsung.

“Ia video parodi yang menggambarkan isteri pembesar negara,” kata Siti Mariah.

Beliau menambah bahawa di bawah Umno, Melayu semakin dibodohkan.

“Di bawah Umno, orang Melayu dibodohkan.  Di bawah Umno, Melayu kekal miskin dan mundur,” tegas beliau.

Pilihan raya kecil di Kajang menyaksikan pertandingan satu lawan satu membabitkan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan naib presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun pada 23 Mac.

Kerusi dewan undangan negeri (Dun) Kajang diisytiharkan kosong ekoran tindakan penyandang jawatan Adun, Lee Chin Cheh dari PKR yang meletakkan jawatan pada Jan 27.

Kerusi Dun ini mempunyai 39728 pengundi berdaftar. Dalam pilihanraya umum tahun lalu sebanyak 87.9% pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka. Hanya 541 undi rosak direkodkan.

Tiada ulasan: