Ahad, 9 Mac 2014

Tujuh lelaki diberkas bersabit pembunuhan ketua Wanita Umno Fleda Semenchu

THE MALAYSIAN INSIDER


Polis menahan tujuh lelaki dipercayai terlibat dalam kes samun dan bunuh Ketua Wanita Umno Cawangan Felda Semenchu, Zalifah Jamaluddin, dekat Kota Tinggi, hujung bulan lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua suspek yang berumur 23 hingga 27 tahun itu ditahan di kawasan felda tersebut dan Stulang Laut di Johor Baharu, pada petang Khamis lepas.

"Polis menemui semula barangan milik mangsa membabitkan dua telefon bimbit, tiga jam tangan, sejumlah barangan kemas dan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Mokhtar berkata kesemua suspek merupakan penagih dadah dan berasal dari felda itu dengan seorang daripada mereka dikehendaki polis.

Kesemua suspek kini direman sehingga 21 Mac depan untuk siasatan.

Zalifah, 68, yang juga seorang peniaga pakaian ditemui mati di rumahnya di Felda Semenchu pada 12.20 tengah hari, 28 Feb lepas, oleh anak lelakinya yang mengesyaki sesuatu berlaku setelah mangsa tidak menjawab panggilan telefon.

Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya menyelesaikan 18 kes pecah rumah dan dua kes curi kenderaan di bandar raya ini dengan penahanan lima lelaki di Kampung Usaha Jaya, Tampoi, di sini, Selasa lepas.

Beliau berkata kesemua mereka yang berumur 21 hingga 33 tahun itu ditahan pada 11.30 pagi dalam serbuan di sebuah rumah.

"Polis merampas 12 parang, empat telefon bimbit, sebuah motosikal dan van yang dilaporkan hilang di Tampoi, tiga gulung kabel, satu kuku kambing, enam alat pemotong, spanar yang diubah suai, satu komputer riba serta dua alat pemain DVD dalam serbuan berkenaan," katanya.

Menurut Mohd Mokhtar, tiga daripada lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah dan kesemua mereka kini direman sehingga esok untuk siasatan lanjut. - Bernama,

Tiada ulasan: