Isnin, 24 Mac 2014
Tribunal Rakyat dedah penipuan dan salah laku PRU13 esok
Tribunal Rakyat anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) akan mendedahkan penemuan penipuan dan salah laku dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 esok.
Pembentangan penemuan itu merupakan sambungan kepada sesi pendengaran dan keterangan saksi oleh Tribunal Rakyat yang berakhir pada September tahun lalu.
"Lima panel antarabangsa sama dan pakar tempatan akan kembali membentangkan penemuan mereka," kata Tribunal Rakyat dalam satu kenyataan hari ini.
Tribunal Rakyat diterajui bekas Wakil Khas Setiausaha Agung PBB di Kemboja, Yash Pal Gai selaku pengerusi; bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia, Ramlan Surbakti dan Kraisak Choonhavan, bekas Presiden Asean Inter-Parliamentary Myanmar Caucus (AIPMC).
Tiga ahli tempatan ialah Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya, Datuk Azzat Kamaludin; bekas profesor Fakulti Ekonomi dan Pentabdiran Universiti Malaya, Dr Mavis Puthucheary dan Rev Dr Hermen Shastri, Setiausaha Agung Lembaga Gereja Malaysia (CCM).
Sesi pembentangan tersebut akan bermula 9.30 pagi hingga 1 tengahari di Hotel Empire, Subang Jaya.
Orang ramai dijemput untuk mendengar pendedahan penemuan tribunal tersebut.
Dalam sesi September tahun lalu, Tribunal Rakyat membuat kesimpulan berdasarkan bukti dan testimoni yang diberikan pelbagai pihak sepanjang tribunal anjuran Bersih 2.0 itu berlangsung, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal melaksanakan Pilihan Raya 2013 dengan bersih dan adil.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan