Isnin, 17 Mac 2014

Tindakan Shariff Omar Sertai PKR Bukan Kejutan

alt
 
Radhi Razak 


KAJANG - Tindakan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd Shariff Omar menyertai PKR bukan satu kejutan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perkara itu sudah dijangkakan berlaku kerana ia telah hangat diuar-uarkan sejak bermulanya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lagi.

"Ini sudah jangka akan berlaku. Masa PRU lagi dah timbul ura-ura bahawa dia akan masuk (PKR). Ia bukan satu kejutan.

"Bagaimanapun, penyertaannya dalam PKR tidak menjejaskan UMNO Pulau Pinang. Kita yakin masih ada lagi pemimpin lain yang lebih berkaliber di sana," katanya kepada pemberita selepas program lawatan penduduk di Kampung Paya dekat Kajang, Sabtu.

Shariff dilaporkan mengumumkan menyertai PKR (Parti Keadilan Rakyat) semasa ceramah perdana bersama Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Stadium Kajang, Jumaat.

Shariff pernah menjadi timbalan ketua menteri Pulau Pinang dan Anggota Parlimen Tasek Gelugor selama enam penggal.

Sementara itu, Shafie berkata pengundi tidak seharusnya mengukur kredibiliti calon berdasarkan ceramah semata-mata sebaliknya haruslah menilai melalui program turun padang yang disertai oleh calon.

"Pengundi dapat menilai keperibadian calon melalui program turun padang dan mesra rakyat kerana calon bersemuka dengan pengundi.

"Lagipun calon kita (Datin Paduka) Chew Mei Fun sentiasa turun padang berjumpa dengan pengundi di sini bagi memahami masalah mereka dan cuba untuk menyelesaikannya," kata Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Beliau berkata calon PKR, Datuk Seri Wan Azizah tidak sepatutnya mengeluarkan manifesto semasa pilihan raya kecil ini kerana negeri Selangor sudah diperintah oleh Pakatan Rakyat.

"Beliau (Wan Azizah) keluarkan manifesto bagi janji kepada penduduk untuk buat ini, itu. Negeri ini pun di bawah mereka dan apa lagi mereka mahu janjikan?.

"Ini sekali gus membuktikan pengeluaran manifesto oleh mereka menunjukkan kerajaan negeri tidak mampu melaksanakan janji-janji yang dilontarkan oleh mereka semasa pilihan raya umum," katanya.

Tiada ulasan: