SHAH ALAM: Ketua Wanita DAP Selangor, Hannah Yeoh menggesa semua ahli parti komponen Pakatan Rakyat agar tidak mengikut rentak politik Umno BN yang berteraskan sentimen perkauman.
“Isu kaum adalah isu Umno-BN, bukan Pakatan. Jangan sesekali ikut rentak mereka. Walaupun mereka suka laga-lagakan parti Pakatan, dan bangkitkan sentimen kaum di kalangan rakyat,
“Kita mesti terus berjuang untuk golongan majoriti dan juga minoriti,” katanya dalam sesi pidato ‘Pakatan Membela Rakyat’ di Konvensyen Pakatan Rakyat kelima hari ini.
Sebaliknya, beliau meminta agar ahli terus membina dan mengukuhkan jambatan persahabatan dan kerjasama antara parti.
“Saya gesa agar ahli, terutama peringkat akar umbi agar terus bersahabat erat. Janganlah kita harapkan pimpinan tertinggi sahaja,” katanya sambil mengambil contoh persahabatan antara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu.
Mereka berdua memang dikenali sebagai sahabat baik yang bermula ketika sama-sama ditahan ketika Operasi Lalang pada 1987.
Beliau juga memuji usaha Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mujahid Yusuf Rawa yang gigih membina hubungan baik, terutama dengan penganut Kristian, di saat sentimen kaum dan agama semakin kuat dimainkan.
“Saya terharu ketika baca kenyataannya, bahawa rakyat harus menghargai kepelbagaian yang ada. Terima kasih Mujahid, kerana menghulurkan tangan persahabatan,” katanya lagi.
Najib, fikir sekali lagi cubaan penjarakan Anwar
Dalam pada itu, Speaker DUN Selangor itu juga mengingatkan Datuk Seri Najib Razak agar menimbang kembali rancangan kerajaannya memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berbeza pada 1998 di mana Umno BN hanya hilang sokongan Melayu, katanya, kali ini seluruh rakyat Malaysia akan menolak mereka.
“Saya tanya bekas staf saya tentang berita semalam. Jawabnya, ketika 1998 Anwar lebih dilihat sebagai pemimpin Melayu. Namun, kini Anwar adalah pemimpin seluruh rakyat Malaysia.
“Jadi saya nak ingatkan Najib – fikir sekali lagi tentangan langkah untuk penjarakan Anwar ini,” katanya lagi. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan