Khamis, 13 Mac 2014

Talam serah nilai hartanah meningkat RM700 juta - Khalid

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Nilai hartanah yang diserahkan Talam Corporation (Talam) sebagai membayar hutang kepada Kerajaan Negeri Selangor pada 2012 meningkat daripada RM398 juta kepada hampir mencecah RM700 juta.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata peningkatan nilai hartanah itu berlaku berikutan usaha kerajaan negeri membangunkan tanah terbabit dan kawasan berhampirannya, lapor Selangor Kini.

“MCA tidak boleh cakap banyak sebab sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). MCA nak salahkan kerajaan negeri konon tak pandai, tolong syarikat Talam.

“Apabila kiraan dibuat termasuk daripada audit negara, mereka kata bagus sebab aset atau pendapatan negeri bertambah.

“Dahulu RM398 juta, sekarang naik hampir RM700 juta sebab tanah itu saya urus jadi lebih baik,” katanya dalam ceramah umum yang diadakan di Taman Mesra, di Kajang, semalam.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu turut menyelar Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong yang cuba memutar belit fakta berhubung isu kutipan hutang Talam oleh kerajaan negeri.

Abdul Khalid berkata, ketika menjalankan proses tuntutan hutang itu, beliau dimaklumkan pemilik Talam bahawa syarikat itu ada membuat pembayaran kepada pihak tertentu dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak dinyatakan indentitinya ketika diberikan tanah berkenaan.

“Maka kita dapat lihat dalam PRU lalu, Pakatan Rakyat (PR) berjaya tambah lapan kerusi, BN tinggal 12 kerusi sahaja daripada Umno, manakala MCA langsung tidak ada kerusi.

“Orang Kajang tidak payah pilih MCA sebab mereka tidak ada tempat di Dewan Negeri Selangor,” katanya.

Tiada ulasan: