Selasa, 18 Mac 2014

Taklimat MH370 hanya untuk BN tidak bertanggungjawab, kata Kit Siang

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


Veteran DAP, Lim Kit Siang turut melawat keluarga penumpang pesawat MH370. Gambar fail The Malaysian Insider.Veteran DAP, Lim Kit Siang turut melawat keluarga penumpang pesawat MH370. Gambar fail The Malaysian Insider. 


























Tindakan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri  Hishammuddin Hussein menganjurkan majlis taklimat berkenaan kehilangan misteri pesawat MH370 “hanya untuk Ahli Parlimen Barisan Nasional” adalah tindakan yang buruk dan memecahbelahkan, kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Veteran DAP itu dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur berkata, tindakan yang dilakukan Hishammuddin itu akan menjejaskan peranan Parlimen untuk mengadakan siasatan penuh tragedi MH370 selepas operasi mencari dan menyelamat.

"Hari ini hari ke-11 pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang.

"Inilah waktunya untuk setiap orang tanpa mengira latar kaum, agama, politik, atau kewarganegaraan terus bersatu mendoakan keselamatan 239 penumpang dan anak kapal MH370," kata ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Lim berkata, beliau mengesyorkan supaya Parlimen Malaysia, mewakili semua rakyat Malaysia, memainkan peranan dalam tragedi MH370 ini.

"Bukan saja dengan memberikan sokongan penuh terhadap semua usaha 'mencari dan menyelamat' yang digerakkan kerajaan dan semua agensi berkenaan, tetapi juga mengadakan siasatan penuh ke atas tragedi MH370, termasuk menyelidik kontroversi dan kekeliruan yang timbul sejak pesawat itu hilang.

"Saya menyeru Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan Bencana dibentuk untuk memberi sokongan kepada operasi mencari dan menyelamat dan mempersiapkan diri untuk menjalankan siasatan selepas operasi itu selesai bagi mencari jawapan kepada pelbagai persoalan yang timbul tentang tragedi MH370," katanya.

Lim berkata, beliau kesal kerana saranan yang dikemukakannya itu masih belum mendapat respon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Hishammuddin.

"Semakin banyak persoalan timbul. Persoalan terkini muncul akibat tindakan berundur daripada kenyataan utama dalam sidang akhbar harian berkenaan urutan peristiwa yang membawa kepada kehilangan pesawat.

"Persoalan, kekeliruan dan kontroversi berkenaan krisis MH370 semakin banyak.

"Maka, sesuatu yang malang dan dikesali apabila pemangku menteri pengangkutan mengadakan majlis taklimat berkenaan krisis MH370 'hanya untuk Ahli Parlimen BN' sahaja," katanya.

Taklimat berkenaan dijangkan berlangsung di Kuala Lumpur pada jam 8:30 malam ini.

"Ini adalah perkembangan buruk dan memecahbelahkan, selain menjejaskan peranan Parlimen untuk menyiasat secara menyeluruh tragedi MH370 selepas operasi mencari dan menyelamat.

"Saya menggesa Hishammuddin untuk menghormati dan tidak menjejaskan kepentingan, hak dan tanggungjawab Parlimen untuk mengadakan siasatan penuh dan menyeluruh ke atas krisis MH370 selepas operasi mencari dan menyelamat serta memastikan taklimat turut diberikan kepada semua Ahli Parlimen, bukan hanya sebahagian mereka, selain memberikan taklimat tersebut segera tanpa sebarang penangguhan,” katanya.

Tiada ulasan: