Ahmad Zahid Hamidi Ahmad Zahid Hamidi


ALOR GAJAH - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpendapat pilihan raya kecil Dun Kajang di Selangor tidak perlu menjadi medan kepada BN untuk mencurahkan pelbagai peruntukan pembangunan.

Beliau berkata, penyaluran peruntukan sepatutnya diberikan sekiranya penduduk Kajang memberikan mandat kepada calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun pada pilihan raya kecil dijadual 23 Mac ini.

Katanya jentera pilihan raya BN yang merupakan pembangkang di Selangor juga perlu mengubah minda agar tidak terlalu bergantung kepada penyaluran peruntukan pembangunan dalam mendapatkan sokongan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Rakyat Umno Bahagian Masjid Tanah di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, BN mempunyai potensi besar untuk menang  pilihan raya kecil itu berikutan pengundi khususnya Melayu telah mula memberikan sokongan kepada BN setelah menyedari kerajaan Selangor gagal menyediakan infrastruktur diperlukan penduduk.

"Di kalangan orang Cina pula mereka tahu bahawa Chew Mei Fun ketika jadi anggota Parlimen Petaling Jaya Utara merupakan seorang yang baik, turun ke bawah...jadi kalau ditakdirkan beliau menang jadi Adun Kajang, beliau akan laksanakan tanggungjawab yang sama biarpun Selangor dipegang pembangkang," katanya.

Justeru, Ahmad Zahid yakin penduduk Kajang mampu membuat pilihan tepat dengan memberi peluang kepada calon BN untuk berkhidmat kepada rakyat dan menolak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hanya berniat memenuhi keinginan politiknya. - Bernama