Ahad, 23 Mac 2014

Suhakam gesa kerajaan tingkat hak asasi manusia dalam negara

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Malaysia telah menolak 82 syor yang terkandung dalam laporan Penilaian Penggalan Sejagat (UPR) Malaysia kali kedua oleh Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 20 Mac 2014 di Geneva.

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suruhanjaya), Tan Sri Hasmy Agam (gambar) dalam satu kenyataan media menjelaskan, daripada 232 syor yang diterima daripada negara anggota PBB semasa sesi penilaian pada 24 Oktober lalu, Malaysia telah menerima 150 syor.

Daripada jumlah tersebut, 113 syor diterima sepenuhnya, 22 syor diterima secara prinsip dan 15 syor lagi diterima secara sebahagian.

“Malaysia tidak menyokong sebanyak 82 syor yang menyeru perubahan segera kepada undang-undang, peraturan dan dasar yang sedia ada atau perkara yang ia tidak bersedia untuk mempertimbangkan atau menyatakan kesanggupannya untuk melaksanakan pada masa ini,” ujar Hasmy.

Antara syor yang diterima sepenuhnya kerajaan adalah berkaitan hak ekonomi, sosial dan budaya, terutamanya pembasmian kemiskinan, pendidikan dan akses kepada penjagaan kesihatan; dan juga peningkatan hak wanita dan kesaksamaan gender serta memerangi pemerdangangan manusia.

Malaysia juga menyokong syor mengenai pengukuhan mekanisme hak asasi manusia kebangsaan, dan juga promosi dan perlindungan hak orang kurang upaya, kanak-kanak, serta akses kepada keadilan bagi pekerja asing.

Bagaimanapun ujar Hasmy, Suhakam berharap kerajaan akan menerima sebanyak mungkin syor ke arah mengesahkan komitmennya untuk meningkatkan hak asasi manusia di peringkat domestik.

Suhakam, ujarnya kesal bahawa syor mengenai penyertaan triti-triti utama hak asasi manusia, pembaharuan undang-undang negara dan pemansuhan hukuman mati tidak disokong Kerajaan Malaysia.

“Suruhanjaya bimbang bahawa hal ini akan terus menghalang negara daripada meningkatkan rekod hak asasi manusianya dan juga dalam mencapai status negara maju menjelang akhir dekad ini,” ujar beliau.

Suhakam juga kesal kerana kerajaan tidak menyokong enam syor penting berkenaan Orang Asal/Asli, terutama mengenai hak tanah mereka walaupun masalah tersebut telah berlarutan sejak sekian lama.

Tiada ulasan: