Mohd Syamsul Mohd Yusoff Mohd Syamsul
 

Suara Pondok ini lebih kepada entiti dalam bentuk yang bagaimana, politik atau ke arah mana?

Lebih kepada kepimpinan negara, itu yang utama, yang keduanya kita lebih kepada berkhidmat untuk rakyat, contohnya dalam sehari dua ini, kita juga memberi tumpuan kepada kebajikan, itu kita tidak abaikan, namun matlamat utama kita adalah kepada kepimpinan, walaupun dilihat Suara Pondok ini lebih kepada Kerajaan Persekutuan.

Walaupun melihat di situ, kita juga ada garis panduan, selagi tidak bercanggah dengan Islam kita ikut, sebaliknya jika bertentangan, kita tetap menolak.

Ustaz sebagai bekas calon, adakah itu sebagai platform untuk lebih ke hadapan?

Bekas calon, sebenarnya saya tidak berhajat pun nak jadi calon tetapi apabila diletakkan sebagai calon, saya melihat untuk berkhidmat kepada rakyat saya perlu ada platform, maka saya memilih Suara Pondok sebagai badan bukan kerajaan untuk bergerak maju ke hadapan, dan mungkin betul juga sebagaimana ditekankan iaitu untuk masa depan saya.

Setakat ini, bagaimana dengan keahlian Suara Pondok itu sendiri?

Pertubuhan Suara Pondok ini baru berdaftar dan dalam proses membuka keahlian, khususnya kepada orang berpendidikan pondok.

Ada sesetengah mengkritik Ustaz sendiri, kononnya Ustaz cuba membawa orang pondok lebih memihak kepada BN, apa komen Ustaz dalam isu ini?

Sebenarnya, asalnya kita melihat dari sudut agama, Umno lebih kepada menjaga akidah ahli sunah, dari sudut akidah, jadi bila orang pondok melihat apabila Pas mengeluarkan kenyataan dan fatwa yang agak lari dengan garisan Ahli Sunnah Wal Jamaah, sebenarnya orang pondok ramai menyokong Pas, tetapi disebabkan banyak kenyataan yang agak lari dengan pendirian Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka mereka ambil jalan untuk mendiamkan diri.

Saya terpanggil menubuhkan Suara Pondok ini supaya mereka boleh berjuang dengan kita untuk menegakkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Jadi Umno dan BN mungkin dari sudut benda lain tu kelemahannya banyak, tetapi dari sudut akidah, mereka meletakkan untuk memperjuangkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sebaliknya Pas tidak menyebut secara jelas, walaupun ada sebahagian yang menyebut, tetapi daripada segi kenyataan itu ada yang bercanggah.

PROFIL

Nama: Mohd Syamsul Mohd Yusoff
Umur: 35 tahun
Jawatan: Ketua Penerangan Pertubuhan Suara Ulama Pondok Kelantan (Suara Pondok)