MALAYSIAKINI
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka lebih 80 peratus daripada
38,055 pemilih berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang
akan keluar mengundi esok.
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata jangkaan berdasarkan
trend pengundian dan peratusan keluar mengundi di DUN itu pada pilihan
raya terdahulu.
Bercakap dalam sidang media di Kajang hari ini, Abdul Ghani tidak
menolak kemungkinan peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil
ini melebihi 88.4 peratus yang dicatat semasa pilihan raya umum ke-13.
Pada masa sama beliau turut menasihatkan pengundi agar datang awal dan
secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan di pusat mengundi.
Rabu lepas, 88.39 peratus atau 1,050 daripada 1,197 pengundi awal di DUN itu melaksanakan tanggungjawab mereka.
Ditanya mengenai perjalanan keseluruhan pilihan raya kecil itu termasuk
tempoh berkempen yang akan berakhir pukul 12 tengah malam ini, Abdul
Ghani berkata SPR berpuas hati dan menyifatkan semua berjalan lancar.
Beliau bagaimanapun mengingatkan parti politik terlibat agar mematuhi
peraturan yang termaktub dalam Akta Pilihan Raya dan Akta Kesalahan
Pilihan Raya semasa hari pengundian.
Antaranya larangan merayu atau meraih undi, katanya.
Pilihan raya kecil DUN itu diadakan selepas penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan pada 27 Jan lepas.
Esok, pengundi di DUN itu akan memilih sama ada Datin Paduka Chew Mei
Fun daripada Barisan Nasional atau calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail sebagai wakil rakyat yang baharu.
-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan