Selasa, 11 Mac 2014

Rayuan Tajudin ketepikan saman Celcom ditolak

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini menolak rayuan tokoh perniagaan Tan Sri Tajudin Ramli dan adik lelakinya untuk mengetepikan dua saman sivil yang difailkan terhadap mereka oleh Celcom (Malaysia) Berhad.

Mahkamah juga menolak rayuan lima bekas pengarah Celcom iaitu Joerg Andreas Boy, Dieter Sieber, Oliver Tim Axmann, Dr Frank-Reinhard dan Axel Hass untuk mengenepikan penyata tuntutan dan notis writ yang dikeluarkan kepada mereka oleh Celcom.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Abu Samah Nordin memutuskan bahawa saman sivil itu perlu dibawa semula ke Mahkamah Tinggi untuk diadakan perbicaraan penuh kerana terdapat isu yang perlu diputuskan oleh mahkamah berkenaan.

Bagaimanapun, panel itu, yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Aziah Ali, memberi mereka kebenaran menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan sementara menunggu keputusan permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan.

Abu Samah memerintahkan perayu memfailkan permohonan mereka bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan dalam masa 30 hari, bermula hari ini.

Celcom dan anak syarikat milik penuhnya, Technology Resources Industries (TRI) Berhad, memfailkan dua saman sivil di Mahkamah Tinggi terhadap Tajudin dan adiknya, Bistamam serta lima bekas pengarah Celcom iaitu Joerg Andreas Boy, Dieter Sieber, Oliver Tim Axmann, Dr Frank-Reinhard dan Axel Hass.

Mahkamah juga memerintahkan dua beradik itu membayar kos guaman RM20,000 kepada Celcom dan TRI dan lima bekas pengarah Celcom terbabit membayar kos guaman RM50,000 kepada Celcom dan TRI.

Celcom memfailkan saman itu terhadap mereka bagi mendapatkan kembali US$177,243,609, yang perlu dibayarnya (Celcom) kepada DeteAsia Holdings GmbH, satu unit di bawah Deutsche Telekom, berikutan keputusan timbang tara yang diperoleh DeTeAsia terhadap Celcom di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa Dewan Perniagaan Antarabangsa pada 2 Ogos 2005 berhubung kes pelanggaran kontrak.

Celcom menuntut dua perayu itu membayar ganti rugi kepadanya berhubung semua bayaran yang dibuatnya kepada DeTeAsia berikutan keputusan timbang tara itu.

Pada 2003, Telekom Malaysia Bhd menawarkan saham Celcom RM2.75 seunit apabila ia menawarkan membeli keseluruhan pengendali perkhidmatan telefon mudah alih itu.

Kemudian, Deutsche Telekom menjual sahamnya pada harga itu, tetapi memfailkan untuk mendapatkan keputusan timbang tara bagi mendapatkan ganti rugi sebanyak RM4.25 seunit.

Firma Jerman itu mendakwa ia dijanjikan saham RM7 seunit di bawah satu perjanjian yang ditandatangani dengan lembaga pengarah Celcom ketika itu, yang diketuai Tajudin.

Tajudin dan Bistamam mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk mengetepikan saman sivil berkenaan.

Sementara itu, kelima-lima bekas pengarah Celcom berkenaan, yang merupakan rakyat Jerman, juga gagal dalam usaha mereka di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan notis writ yang dikeluarkan kepada mereka.

Mereka memohon untuk mengetepikan penyata tuntutan berkenaan dan notis writ yang dikeluarkan kepada mereka dengan mendakwa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengendalikan tuntutan itu kerana perkara itu telah dibicarakan melalui timbang tara.

Peguam, Lim Kian Leong dan Low Chi Cheng mewakili Tajudin dan Bistamam, manakala lima bekas pengarah Celcom itu diwakili peguam Lim Tuck Sun dan Tan Hui Xian.

Celcom dan TRI pula diwakili peguam Nad Segaram dan Tay Por Hai. - Bernama,

Tiada ulasan: