Jumaat, 14 Mac 2014

Raja Bomoh popularkan Malaysia



bomoh kelapa1

Malah secara otomatik nama beliau juga kini meniti di bibir rakyat luar negara.


PETALING JAYA:  Suka atau tidak, ada dua isu atau topik yang kini hangat diperkatakan oleh rakyat Malaysia dan seluruh dunia. Topik yang yang paling menjadi perbualan orang ramai ialah misteri kehilangan pesawat MH370 milik Malaysia Airlines yang sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 06.30 pagi pada 08 Mac lepas.

Sesiapa pun tidak boleh menafikan topik kedua yang paling hangat diperbualkan di Malaysia dan menjadi sebutan di seluruh dunia ialah kisah Raja Bomoh Sedunia, Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin yang berumur 80 tahun.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dalam kenyataan akhbar berkata Mesyuarat Panel Kajian Akidah Jakim pada 22 hingga 23 November 2014, telah memutuskan bahawa rawatan perbomohan Ibrahim adalah bercanggah dengan aqidah Islam kerana mengandungi unsur-unsur syirik, khurafat serta penipuan.

Buka sahaja laman sesawang, laman sosial Facebook, aplikasi Whatsapp, hampir semua komen oleh orang ramai adalah komen mengutuk, menyindir dan mentertawakan tindakan ‘ritual’ Raja Bomoh menggunakan teropong buluh, bubu, karpet, buah kelapa dan bakul mencari pesawat MH370 di KLIA.

Walau apa pun kecaman orang ramai terhadap Raja Bomoh, satu perkara yang tidak boleh dinafikan ialah, beliau kini berjaya mempopularkan nama Malaysia di serata dunia. Malah secara otomatik nama beliau juga kini meniti di bibir rakyat luar negara.

Penulis sejak zaman sekolah disogokkan dengan dakyah kononnya rakyat luar negara khususnya rakyat Amerika Syarikat dan Eropah (kecuali negara-negara Komanwel) tidak begitu mengenali Malaysia. Sebaliknya lebih mengenali Singapura.

Ada pun nama Malaysia menjadi ‘top’ seketika ketika negara bermegah mempunyai bangunan tertinggi di dunia iaitu Menara Berkembar Petronas. Walaubagaimanapun ‘kejayaan’ itu hanya bersifat sementara kerana kini sudah ada beberapa negara lain yang mempunyai bangunan yang lebih tinggi daripada Malaysia.

Misteri kehilangan kapal terbang MH370 sudah tentu menjadi perhatian seluruh dunia. Tidak sesiapa pun yang mahu negara Malaysia dikenali di seluruh dunia kerana kehilangan pesawat MH370 ini, kerana ia membabitkan nyawa manusia.

Presiden Amerika, Obama kenal Raja Bomoh?
unnamed
Tetapi sama ada rakyat Malaysia suka atau tidak, rakyat dan kerajaan Malaysia harus terima hakikat bahawa Raja Bomoh telah melariskan nama Malaysia di persada dunia hanya dengan sekelip mata.

Mungkin tindakan beliau khurafat, tidak masuk akal dan menjadi bahan jenaka rakyat Malaysia dan orang luar negara, tetapi yang pasti beliau telah menjadi “duta” tidak rasmi Malaysia untuk seluruh dunia.

Bayangkan sejak seminggu ini, nama Raja Bomoh (bomoh disebut shaman dalam Inggeris), kaedah pencarian MH370 beliau dengan peralatan ala filem klasik Allahyarham P Ramlee iaitu ‘Laksamana Do re Mi’  dan nama Malaysia terpampang hampir di semua akhbar, televisyen dan portal online di seluruh dunia.

Media Amerika Syarikat, United Kingdom, China, Jepun, Korea Selatan, Mesir, Australia, India, Thailand dan negara-negara Arab melaporkan kisah Raja Bomoh mencari pesawat MH370.

Walaupun ada media luar negara yang menyindir Raja Bomoh dan tempiasnya kena pada kerajaan Malaysia serta rakyat Malaysia sendiri, faktanya nama Malaysia kini dikenali oleh generasi baru di luar negara.

Sejak dua kali Raja Bomoh muncul di KLIA untuk mencari MH370, beliau dijadikan sebagai bahan jenaka apabila bermacam-macam foto beliau yang telah diedit dan di superimpose tersebar di halaman web, Facebook dan Whatsapp.

Obama Bomoh

Salah satunya foto Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sedang menonton berita di pejabatnya dengan tiga orang pegawai beliau. Berita yang bermain di kaca televisyen tersebut ialah Raja Bomoh sedang menggunakan teropong buluh dan bubu ketika ‘ritual’ mencari MH370 di KLIA.

Jika benar  Obama menonton gelagat Raja Bomoh maka boleh dikatakan secara tidak rasmi mungkin empat individu sahaja Obama kenal di Malaysia.

Mereka ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bekas Pengerusi Bersih, Ambiga Sreenivasan dan yang terbaru Raja Bomoh Sedunia, Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin.

Raja Bomoh mungkin akan berbangga kerana beliau kini menduduki di ranking keempat individu dari Malaysia paling dikenali oleh Obama.

Radar berjaya mengesan penerbangan karpet terbang Raja Bomoh

Bomoh 1

Satu lagi foto yang popular di laman Facebook dan Whatsapp ialah foto superimpose laman web flightradar24 (live air traffic),  iaitu sebuah laman web yang menunjukkan trafik penerbangan udara menggunakan radar secara langsung.

Dalam foto superimpose itu direkodkan laluan penerbangan karpet terbang Raja Bomoh yang berlepas dari KLIA, berpusing dan melalui utara semenanjung, Selat Melaka, Sumatera, Singapura, China, Thailand dan berakhir di Laut Cina Selatan.

Destinasi lepas direkodkan dari Kuala Lumpur dan destinasi mendarat pula ‘Unknown’.

Apakah Raja Bomoh akan muncul kembali di KLIA untuk kali ketiga dalam masa terdekat? Apakah kali ini beliau akan menggunakan bangsi (harmonica) hikmah mengambil sekali lagi idea P Ramlee dari filem Laksamana Do Re Mi untuk ‘mengesan’ MH370?

Tetapi tidak kurang ada juga segelintir orang ramai yang mempertahankan Raja Bomoh di alam maya.

“Jika Raja Bomoh berjaya mengesan MH370, apakah mereka yang mengutuk beliau sanggup memohon maaf kepada Raja Bomoh kerana mencerca Raja Bomoh? tanya seorang gadis.

“Kenapa mengutuk orang sebangsa seagama kita. Beliau hanya hendak membantu megesan MH370. Kenapa perlu memalukan Raja Bomoh? luahan komen seorang jejaka.

Apakah khidmat Raja Bomoh yang mencari misteri kehilangan pesawat MH370 dengan cara tersendirinya akan membantu menarik lebih ramai pelancong luar negara melawat Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2014?

Masa akan menjawab persoalan ini.

Tiada ulasan: