Selasa, 11 Mac 2014

Putrajaya guna kuasa desak 3 syarikat konsesi terima tawaran Selangor


Masalah bekalan air di Selangor, Lembah Klang dan Putrajaya dijangka mampu diselesaikan selepas kerjasama kerajaan pusat dan Selangor menerusi pembinaan loji di Langat. Gambar fail.Masalah bekalan air di Selangor, Lembah Klang dan Putrajaya dijangka mampu diselesaikan selepas kerjasama kerajaan pusat dan Selangor menerusi pembinaan loji di Langat. Gambar fail.




























Berikutan keengganan tiga syarikat konsesi air di Selangor menerima tawaran rasmi berjumlah RM9.65 bilion untuk membeli ekuiti mereka, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) hari ini mengumumkan akan menggunakan kuasanya mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) bagi merealisasikan cita-cita kerajaan negeri.

KeTTHA dalam satu kenyataan bersama Pejabat Menteri Besar Selangor berkata,  selain WSIA, akta, undang-undang atau peraturan yang terpakai untuk membantu kerajaan Selangor akan digunakan bagi melaksanakan cadangan pengambilalihan industri perkhidmatan air di negeri itu.

“Kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor akan meneruskan langkah perlu bagi melaksanakan penyusunan semula industri air Selangor mengikut terma yang dipersetujui menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 26 Februari lalu.

“Ini termasuk menguatkuasa Seksyen 114 Akta WSIA dalam usaha menangani isu yang melibatkan kepentingan negara untuk memastikan perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya  lebih mampan dan berdaya maju,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan lewat petang tadi.

Pada 26 Februari  lalu, syarikat milik kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran rasmi berjumlah RM9.65 bilion untuk membeli ekuiti empat syarikat konsesi air iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB),  Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas).

Namun, tawaran yang berakhir pada jam 5 petang semalam menyaksikan tiga syarikat konsesi iaitu Syabas, Puncak Niaga dan Splash menolak tawaran berkenaan manakala hanya Abbas konsesi tunggal yang menerima tawaran itu.

Dalam pertemuan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada tengah hari tadi membuat ketetapan tersebut dalam satu mesyuarat khas.

Dalam mesyuarat itu, Ongkili mengulangi komitmen beliau untuk membantu memudahkan kerajaan Selangor mengambil alih perkhidmatan air daripada empat syarikat konsesi seperti yang dipersetujui MoU, menurut kenyataan itu

Tiada ulasan: