Rabu, 26 Mac 2014

PRK Kajang: PKR hampir sapu bersih undi anak muda

 

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Kemenangan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang bukan sahaja menandakan peningkatan sokongan masyarakat Melayu terhadap Pakatan Rakyat malah tinjauan awal mendapati saluran mengundi anak muda hampir disapu bersih oleh calon PKR.

Pengarah PRK Dun Kajang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat bukan sahaja  berjaya meningkatkan sokongan pengundi Melayu dengan mengurangkan majoriti kekalahan di beberapa daerah mengundi majoriti Melayu Muslim seperti Sungai Kantan dan Batu 10 Cheras, malah berjaya menawan dua kubu kuat Umno-BN iaitu Sungai Sekamat dan Taman Delima.

"Saya mengucapkan sekalung tahniah kepada Dato’ Seri Dr Wan Azizah atas kemenangan di PRK N25 Kajang. Syabas juga diucapkan kepada pengundi Kajang kerana membuat pilihan yang bijak dengan sekali lagi memilih Pakatan Rakyat untuk menjadi suara mereka di Dewan Negeri Selangor.

"Jelas di sini bahawa rakyat menolak kempen agresif dan provokatif yang penuh dengan unsur keganasan dan bibit-bibit perpecahan," tegas beliau.

Menteri Besar Selangor itu juga berkata, penurunan peratus keluar mengundi kepada 72.1% daripada 88.4% pada PRU13 adalah perkara biasa dalam sebarang pilihan raya kecil yang secara tidak langsung mengakibatkan penurunan majoriti.

Kemenangan calon PKR ini juga, tambah beliau membuktikan bahawa rakyat Selangor yakin dengan prinsip pentadbiran yang telus, bertanggungjawab dan penuh integriti kerajaan Pakatan Rakyat negeri.

"Sebagai bukti Pakatan Rakyat berjaya meningkatkan undi popular di Kajang kepada 60% pada PRK ini berbanding 58% pada PRU13 pada 5 Mei 2013," ujarnya.

Meskipun keputusan PRK Dun Kajang tidak mengubah struktur dan mekanisme pentadbiran, beliau yakin mandat yang diberikan penduduk Kajang akan menjadi pemangkin kepada kerajaan Pakatan Rakyat untuk terus bekerja dengan lebih gigih tanpa mengenal penat lelah dan jemu demi kebajikan rakyat.

"Kemenangan ini seolah-olah memberi restu kepada Kerajaan Selangor untuk terus komited dengan agenda reformasi dalam pentadbiran serta segala aspek sosio-ekonomi dan politik yang didokong oleh Pakatan Rakyat.

"Sekali lagi, selaku Pengarah Pilihanraya N25 Kajang, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada setiap petugas pilihan raya daripada semua parti komponen Pakatan Rakyat yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan proses demokrasi ini berjalan lancar dan seterusnya kemenangan yang sememangnya wajar berpihak kepada Pakatan Rakyat," kata Abdul Khalid.

Tiada ulasan: