PRK Kajang


KAJANG - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Kajang hari ini mampu mencapai sehingga 80 peratus.
 
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sehingga 11 pagi, 12,288 atau 32.29 peratus daripada 38,055 pengundi telah keluar menunaikan hak masing-masing.
 
Pemerhatian SPR sejak pusat mengundi dibuka pada 8 pagi mendapati pengundi dan penyokong kedua-dua parti memberi kerjasama dan patuh kepada arahan yang dikeluarkan, katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan Seri Sekamat di sini hari ini.
 
Sebanyak 15 pusat mengundi dibuka untuk PRK Kajang dan akan ditutup pada pukul 5 petang.
  
Pilihan raya kecil ini menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei Fun dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan keputusan dijangka diumumkan pada pukul 9 malam.

Dalam pada itu, Abdul Aziz meminta pemimpin politik menasihatkan penyokong dan jentera parti yang hadir ke pusat-pusat pengundian supaya sentiasa berhemah, sopan dan mematuhi arahan bagi memastikan kelancaran proses pengundian selesai.
 
Beliau juga menasihatkan penyokong parti politik tidak menimbulkan provokasi yang boleh mengganggu proses pengundian dan ketenteraman awam.
 
"Tempoh berkempen sudah tamat pada 12 tengah malam tadi. Hari ini pengundi hadir bagi membuat keputusan siapa yang patut dipilih, dan mereka tidak harus diganggu lagi," katanya.  - Bernama