Ahad, 16 Mac 2014

PRK Kajang Masih Lesu Akibat Jerebu Dan Isu Kehilangan MH370


PRK Kajang

Oleh: BERNAMA 


KAJANG: Kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang disifatkan kurang terasa bahangnya oleh penduduk disebabkan keadaan jerebu dan isu kehilangan pesawat MH370 yang menggemparkan rakyat di negara ini.

Berbanding kebanyakan pilihan raya yang meriah dengan 'perang poster' dan bendera, keadaan di Kajang masih lesu, namun dijangka bertambah rancak menjelang hari pengundian pada 23 Mac ini.

Dari segi kempen, program tinjauan mesra dan lawatan rumah ke rumah giat djalankan oleh kedua-dua jentera pilihan raya kecil Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) diikuti ceramah politik di sebelah malam.

Bagaimanapun, ceramah pada sebelah malam, baik anjuran BN mahupun PR, dilihat kurang menggalakkan, mungkin disebabkan kebanyakan penduduk lebih rela berehat di rumah atas faktor cuaca panas dan jerebu.

Malah, ada juga dalam kalangan penduduk memilih untuk mengikuti perkembangan isu pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak seminggu lepas melalui kaca televisyen dari semasa ke semasa di rumah mereka.

Bagi pesara kerajaan Abdul Rahim Ibrahim, 57, dari Kampung Sungai Kantan di sini, cuaca panas ditambah dengan jerebu menyebabkan beliau memilih untuk mengurangkan aktiviti luar rumah.

"Saya mengenali calon ketika kunjungan mereka ke sini dengan mengedarkan poster dan manifesto mereka," katanya ketika ditemui Bernama.

Julia Shahri, 59, dari Kampung Batu 12 Jalan Cheras berkata walaupun ceramah daripada kedua-dua calon diadakan berdekatan dengan rumah, namun beliau memilih untuk mengikuti perkembangan kehilangan pesawat MH370 melalui kaca televisyen di rumah.

"Saya ada juga menghadiri beberapa ceramah yang diadakan oleh mereka namun apabila keadaan jerebu semakin serius sejak akhir-akhir ini, saya memilih untuk tidak keluar rumah.

"Lagipun Penerbangan MH370 masih belum ditemui dan setiap masa saya mengikuti perkembangannya baik daripada media cetak ataupun media elektronik," katanya.

Rabiah Sapuan, 64, dari Kampung Paya berkata beliau memilih untuk menyertai program interaksi bersama penduduk oleh calon yang diadakan di kawasan tertutup seperti dewan orang ramai.

"Saya cuba untuk mengurangkan aktiviti luar disebabkan cuaca panas dan jerebu, jika memerlukan saya untuk keluar, saya akan memakai topeng muka," katanya.

Wong Ten Sang, 57, dari Sungai Chua berkata beliau kagum dengan semangat kedua-dua calon PRK yang masih giat menjalankan kempen di merata tempat walaupun negara dilanda masalah jerebu.

"Semasa jentera parti yang bertanding datang memberi risalah, ada dalam kalangan mereka berpesan kepada saya supaya banyakkan minum air kerana cuaca panas dan jerebu... ternyata mereka sangat prihatin terhadap kita, " katanya.

Pilihan raya kecil DUN Kajang menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon BN yang juga Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun dan calon PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR.

PRK Kajang diadakan selepas penyandangnya Lee Chin Cheh meletakkan jawatan secara mengejut pada 27 Januari lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 Mac ini sebagai tarikh mengundi selain tarikh pengundian awal pada 19 Mac.

Tiada ulasan: