Rabu, 19 Mac 2014

PRK Kajang: Keputusan Dijangka 9 Malam Ahad

Abdul Ghani
 
 
 
KAJANG: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dijangka dapat ketahui seawal pukul 9 malam Ahad depan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya yakin tidak menghadapi masalah untuk melakukan proses pengiraan undi sebaik sahaja pengundian ditutup pada pukul 5 petang.

"Kita jangkakan keputusan boleh diumumkan seawal pukul 9 malam," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di pusat pengundian awal di IPD Kajang di sini, Rabu.

Mengulas mengenai kempen PRK Kajang yang masuk hari ke lapan, Abdul Ghani menyifatkan ia berlangsung dalam suasana yang aman tanpa insiden yang tidak diingini.

"Alhamdulillah semuanya lancar, kita tak terima apa-apa laporan membabitkan perkara yang serius.
"Saya harapkan suasana kempen secara aman ini dapat dikekalkan sehingga tempoh berkempen tamat pada tengah malam Sabtu ini," katanya.

PRK Kajang diadakan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Lee Chin Cheh dari parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan pada 27 Januari lepas.

Dua calon wanita, iaitu Datin Paduka Chew Mei Fun yang mewakili Barisan Nasional (BN) bakal berdepan calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden parti itu.

SPR menetapkan 23 Mac ini sebagai hari pengundian bagi 38,081 pemilih biasa.

Tiada ulasan: