Isnin, 3 Mac 2014

PRK Kajang: Kaum India dah lama tolak BN- Manivanan

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR:  Cabaran bekas timbalan menteri, P Waythamoorthy agar Umno BN menjadikan Pilihan Raya Kecil DUN N25 Kajang sebagai referendum untuk membantu masyarakat India adalah sesuatu yang ganjil, tegas Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan.

Ini kerana katanya, masyarakat India telah lama menolak Umno BN dan menyedari parti itu tidak mampu untuk menaiktaraf kehidupan mereka.

“Malah, Waythamoorthy sendiri telah meletakkan jawatan dari Kabinet Datuk Sri Najib Razak kurang sebulan lalu kerana Umno BN gagal berperanan sebagai kerajaan yang mengangkat martabat masyarakat India.

“Yang mengejutkan saya ialah mengapa Waytha bersikap tidak masuk akal dengan melontarkan cabaran sebegitu,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Manivanan berkata, tiada gunanya membiarkan Umno BN menabur janji palsu sekali lagi terhadap pengundi di Kajang terutamanya masyarakat India kerana rekod buruk mereka terbukti gagal menangani isu membabitkan kaum itu.

Katanya, Pakatan Rakyat selama ini komited untuk membela masyarakat India yang masih dibelenggu isu seperti kemiskinan dan kemunduran daripada menjadi mangsa politik Umno BN.

“Keyakinan yang diberikan oleh pengundi India dalam dua pilihan raya umum yang lalu memberi isyarat kepada Umno BN bahawa mereka tidak lagi percaya dengan politik murahan, yang hanya menabur janji ketika berlakunya pilihan raya,” ujarnya.

Tiada ulasan: