Selasa, 25 Mac 2014

Penulis terkenal Nahmar Jamil meninggal dunia

HARAKAHDAILY 


KANGAR: Penulis terkenal tanah air, Nahmar Jamil, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar semalam setelah seminggu dirawat di hospital berkenaan.

Allahyarham Nahmar atau nama sebenarnya Na'aman Mohd Rawi, 75, menghembuskan nafas terakhir di hadapan anggota keluarga kira-kira pukul 7.30 petang semalam.  

Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Tok Paduka berhampiran rumahnya pukul 11 pagi ini.  

Menurut isterinya, Fatimah Lebai Sharaat, 67, allahyarham dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini setelah terjatuh di rumahnya pada Selasa lepas.  

Bagaimanapun, pihak HTF kemudian menghantar allahyarham ke HSB setelah mengesan pendarahan di kepalanya.  

Semasa hayatnya, allahyarham menghasilkan banyak penulisan kreatif dalam bidang sajak, cerpen dan novel termasuk novel terjemahan daripada bahasa Arab.  

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, seorang anak, dan dua cucu lelaki. - Bernama

Tiada ulasan: