KEADILAN DAILY
KAJANG: KEADILAN mengesahkan ada menerima aduan berhubung perpindahan pengundi di N25 Kajang secara tidak sah.
Menurut Ketua Penerangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, Shuhaimi Shafie, sehingga semalam pihaknya menerima aduan daripada seorang pengundi berbangsa Cina yang dipindahkan lokalitinya dari Kajang ke Bangi.
Jelas Shuhaimi, pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan sebelum itu, pengundi terbabit tidak pernah mengundi di lokaliti selain Kajang.
“Apabila beliau pergi semak namanya di daftar pemilih SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) khas untuk PRK Kajang, namanya tidak ada. Tetapi apabila semak di web SPR namanya di Semenyih sedangkan dia tidak pernah ubah tempat mengundi bahkan sudah empat kali pengundi itu mengundi di Kajang,” katanya, lapor Harakah Daily.
Beliau yang juga Ketua Bilik Operasi 11 KEADILAN tidak menolak akan ada lagi kes seperti itu khususnya membabitkan pengundi Cina kerana ia bukan kes terpencil.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda itu, kebiasaannya pengundi-pengundi akan mendapat slip maklumat mengundi termasuk saluran dan lokaliti mengundi.
“Jika pengundi tidak sedar mereka dipindahkan secara senyap ianya akan menyusahkan pengundi pada hari membuang undi. Kalau kita keluar mengundi jam 4 petang tiba-tiba tiada nama, sudah tentu kelam kabut dan tidak mustahil pengundi tidak jadi tunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.
Justeru, KEADILAN menggesa para pengundi Kajang agar membuat semakan awal di mana lokaliti mereka melalui semakan online SPR.
“Buat semakan awal, jika ada berlaku masalah ini, sila maklumkan kepada Bilik Gerakan Utama KEADILAN. Insyallah kita boleh bantu,” kata Shuhaimi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan