Sabtu, 1 Mac 2014

Pemain Khoo Kien Keat 'jadi tukang kempen' Chew

MALAYSIAKINI





Walaupun mempunyai jadual yang padat, namun calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Kajang, Datin Paduka Chew Mei Fun turut menyertai satu perlawanan badminton persahabatan malam tadi.


Dalam perlawanan yang berlangsung di dewan badminton di Sungai Chua, Chew dan bekas pemain badminton negara, Khoo Kien Keat berpadu tenaga untuk menundukkan pasangan Pemuda BN dalam satu pertandingan sengit yang berkesudahan dengan 21-19.

" Ia dimenangi Chew Mei Fun ," kata Chong Sin Woon, yang berpasangan dengan Khairy Azwan Harun yang tewas kepada pasangan "Diamond Pair " itu.

Pertandingan persahabatan itu, anjuran Pemuda BN, turut menarik perhatian mereka yang bermain di gelanggang bersebelahan, untuk datang menontonnya.

Chew, yang kemudiannya bergegas untuk menghadiri dua ceramah di Kajang, tidak bercakap dengan media.

Beliau mempunyai sejumlah lapan program di bandar itu semalam.

Ini adalah kali kedua Khoo dilaporkan menghadiri fungsi yang
berkaitan dengan pilihan raya .

Yang pertama ialah di Machap pada tahun 2007 selepas beliau dan pasangannya, Tan Boon Heong mencapai kemasyhuran apabila menjadi juara Sukan Asia pada tahun 2006 dan Terbuka England pada Mac 2007.

Kedua-duanya dilaporkan mengadu kekurangan masa untuk latihan kerana mereka perlu menghadiri aktiviti luar, termasuk pergi ke Machap.

Dan bekas rakan sepasukannya Khoo - Datuk Lee Chong Wei -  pula ke Perak untuk memberi sokongan kepada rakannya, Ling Hee Long, yang bertanding kerusi Parlimen Gopeng dalam pilihan raya umum 2008.

Tiada ulasan: