Sabtu, 8 Mac 2014

PBB bimbang sabitan kes hasutan terhadap Karpal

MALAYSIAKINI





Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia menggesa kerajaan Malaysia supaya menyemak semula sabitan terhadap Pengerusi DAP Karpal Singh atas kesalahan menghasut dan memansuhkan Akta Hasutan seperti yang dijanjikan dua tahun lalu.

Sambil menyuarakan "kebimbangan yang serius", jurucakapnya, Rupert Colville berkata, Akta Hasutan itu tidak konsisten dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan melanggar kebebasan bersuara.

Menurutnya lagi, sebagai seorang peguam, Karpal mesti berupaya untuk menunaikan kewajipannya "tanpa ugutan, sekatan dan campurtangan tidak wajar dalam apa jua bentuk".

"(Peguam) sepatutnya berhak untuk menyatakan pandangan dalam kapasiti profesional mereka mengenai perkara-perkara berkaitan undang-undang, " kata Colville dalam satu kenyataan semalam.

"Kami menggesa kerajaan Malaysia untuk menyemak semula sabitan ke atas Karpal dan untuk memansuhkan Akta Hasutan - sesuatu yang perdana menteri telah, pada tahun 2012, secara terbuka berjanji untuk melakukannya".

Hukuman Karpal Selasa depan


Pada bulan Julai 2012, Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan kerajaan akan memansuhkan akta itu dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional, tetapi tiada apa-apa dibuat sejak itu.

Karpal telah disabitkan atas tuduhan hasutan kerana berkata dalam satu sidang akhbar bahawa keputusan sultan Perak untuk memecat menteri besar ketika itu, Datuk Seri Nizar Jamaluddin boleh dicabar di mahkamah.

Pihak pendakwa berhujah bahawa kata-kata beliau mempunyai kecenderungan untuk mewujudkan kebencian terhadap sultan.

Ahli parlimen veteran itu berdepan dengan hukuman denda sehingga RM5,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya.

Karpal akan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen jika denda itu melebihi RM2,000 dan dia dihukum penjara lebih daripada satu tahun.

Hukuman ke atasnya akan diumumkan pada 11 Mac.

Tiada ulasan: