Isnin, 24 Mac 2014

MB : Rakyat Kajang yakin pentadbiran PR, undi popular meningkat

Oleh : AFEEQA AFEERA


SHAH ALAM : Kemenangan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang membuktikan rakyat Selangor yakin dengan prinsip pentadbiran telus, bertanggungjawab dan integriti yang diamalkan Pakatan Rakyat (PR) di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata PR juga berjaya meningkatkan undi popular di Kajang kepada 60 peratus pada PRK kali ini berbanding 58 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu.

Katanya, walaupun penurunan peratus keluar mengundi berkurang kepada 72.1 peratus berbanding 88.4 peratus pada PRU-13, namun ia dianggap perkara biasa dalam sebarang PRK.

Abdul Khalid

Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata, ia tidak bermakna kemenangan itu tiadak mempunyai impak signifikan kepada rakyat dan Selangor.

“Kemenangan ini lebih manis apabila PR berjaya meningkatkan sokongan di kalangan pengundi Melayu, bahkan bukan sahaja mengurangkan majoriti kekalahan di beberapa daerah mengundi seperti Sungai Kantan dan Batu 10 Cheras tetapi turut berjaya menawan dua kubu kuat Umno iaitu Sungai Sekamat dan Taman Delima.

“Lebih bermakna apabila tinjauan awal mendapati saluran mengundi anak muda hampir disapu bersih PR pada PRK kali ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, walaupun keputusan Kajang tidak mengubah struktur dan mekanisme pentadbiran, namun mandat yang diberikan penduduk kawasan berkenaan akan menjadi pemangkin kepada PR untuk terus bekerja lebih gigih demi kebajikan rakyat.
 DSC_6723 
Katanya, kemenangan itu seakan memberi restu kepada kerajaan Selangor untuk terus komited dengan agenda reformasi dalam pentadbiran serta segala aspek sosioekonomi dan politik yang didokong PR.

“Selaku Pengarah Pilihanraya N25 Kajang, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada setiap petugas pilihan raya daripada semua parti komponen PR yang bertungkus-lumus bagi memastikan proses demokrasi ini berjalan lancar dan seterusnya kemenangan yang sememangnya wajar berpihak kepada kita,” katanya.-NFN-

Tiada ulasan: