Khamis, 27 Mac 2014

Munajat solidariti 529 penyokong Ikhwan malam ini

HARAKAHDAILY 


 KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat mengarahkan Dewan Ulamak PAS negeri-negeri dan Urusan Ulamak PAS kawasan-kawasan mengadakan solat hajat dan munajat malam ini (27 Mac).

Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Datuk Ahmad Yakob menerusi facebook semalam menyatakan solat hajat dan munajat itu solidariti kepada 529 mangsa kezaliman rejim as-Sisi.

Katanya, majlis itu diadakan selepas solat Isyak di seluruh masjid, surau dan markaz tarbiyah PAS.

Pada 24 Mac lalu, mahkamah di selatan Mesir menjatuhkan hukuman mati kepada 529 penyokong Presiden negara itu yang sah, Dr Mohamed Morsi termasuk Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Dr Mohamad Badie.

Menurut Al-Jazeera, hukuman mati yang dijatuhkan itu telah mencetuskan kritikan banyak pihak kerana ramai mempertikaikan prosiding perbicaraan terbabit yang didakwa tidak mengikut prosedur ditetapkan.

Pakar undang-undang memaklumkan keputusan mengejut itu mungkin boleh ditarik balik dengan mengemukakan rayuan.

Sementara itu, Amnesty International turut mengecam keputusan tersebut yang disifatkan sebagai keterlaluan.

Bagaimanapun hukuman kepada 683 lagi penyokong Ikhwan pada perbicaraan kedua hari berikutnya ditangguhkan kepada 28 April ini.


Tiada ulasan: