Selasa, 4 Mac 2014

MP Klang gesa kerajaan guna WSIA selesai masalah air Selangor


charles santiago



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago menggesa Kerajaan Persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) untuk menyelesaikan masalah penstrukturan semula air di Selangor.

Beliau berkata, gesaan itu dilakukan berikutan tindakan Kerajaan Persekutuan yang berdiam diri untuk melaksanakan WSIA dalam memperoleh empat syarikat konsesi.

“Strategi yang paling sesuai dan saksama bagi Kerajaan Persekutuan adalah menjalankan Seksyen 114 WSIA untuk memperoleh syarikat konsesi dan menyerahkan kepada Special Purpose Vehicle (SPV) Selangor. Permintaan ini dibuat sebelum rundingan bermula.

“Jadi, demi keadilan dan timbal balik, Kerajaan Persekutuan harus memujuk pemegang konsesi supaya menerima tawaran Selangor.

“Dan apa yang lebih penting, sebagai rakan kongsi dalam perjanjian itu, ia mesti secara terbuka dan segera mengisytiharkan bahawa mereka melaksanakan Seksyen 114 WSIA dan tidak sekadar janji dibibir serta memberi sokongan kepada kemudahan semata. Ini perlu untuk membuktikan kejujuran mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penyelaras Badan Membantah Penswastaan Air (CAWP) itu juga menegaskan terdapat kekurangan pariti dalam proses yang digariskan MOU antara Selangor dan Kerajaan.

Menurutnya, Selangor dipaksa untuk menyerahkan Langat 2 serta merta, manakala Kerajaan Persekutuan hanya memudahkan proses penstrukturan semula air.

“Nampaknya MOU digariskan dua usul utama iaitu komitmen Selangor terhadap Langat 2 tidak boleh ditarik balik dan Kerajaan Persekutuan hanya melakukannya untuk memudahkan pelaksanaan pengambilalihan empat syarikat konsesi.

“Tetapi mereka dilihat mendiamkan diri dalam melaksanakan Seksyen 114 WSIA dalam memperoleh syarikat konsesi itu, pendek kata, tahap aku janji jelas tidak sama,” ujarnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: