Isnin, 24 Mac 2014

MH370: Satelit Perancis Dakwa Temui Imej Serpihan Pesawat

MSTAR ONLINE


Pusat penyelaras Australia diberi petunjuk baru oleh Perancis selepas setelit negara itu menemui imej dipercayai dapat membantu pencarian pesawat MH370.


KUALA LUMPUR: Malaysia menerima imej satelit baharu daripada pihak berkuasa Perancis menunjukkan objek-objek berpotensi yang mungkin berkaitan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang di sekitar koridor selatan pagi Ahad, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata imej-imej itu dihantar dengan segera kepada pusat koordinasi menyelamat Australia yang mengetuai usaha mencari di kawasan berkenaan.

Sebelum ini, Australia dan China telah mengeluarkan imej-imej satelit yang menunjukkan objek-objek berpotensi, yang mungkin berkaitan dengan MH370 di sekitar koridor selatan, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata kementerian telah dimaklumkan pegawai-pegawai Australia bahawa mereka tidak melihat apa-apa yang baru mengenai MH370 pada pukul 2.30 petang (waktu Malaysia).

Dalam penghantaran aset, dua pesawat Ilyushin IL-76 China akan berlepas dari Perth untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 5 dan 6 pagi esok.

Dua pesawat P3 Orion Jepun hari ini berlepas ke Perth dari lapangan terbang Subang, dan pusat koordinasi menyelamat Australia akan menghantar lapan pesawat (empat tentera dan empat awam) ke koridor selatan untuk melakukan pencarian secara visual.

"Kapal Pertahanan Australia 'Ocean Shield', yang memiliki kenderaan bawah laut kawalan jauh, sedang dalam pelayaran ke koridor selatan.

Sebuah pesawat P8 Poseidon Tentera Laut India dan sebuah pesawat C130 Tentera Udara India berlepas dari lapangan terbang Subang untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat di bahagian utara koridor selatan, yang diketuai oleh Indonesia," tambahnya.

Beliau berkata beberapa penerbangan lain dari lapangan terbang Subang ke koridor selatan dibatalkan kerana cuaca buruk disebabkan puting beliung Gillian.

Sementara itu, Hishammuddin berkata pasukan peringkat tertinggi dari Malaysia memulakan taklimat di Beijing pagi ini untuk keluarga penumpang MH370, yang berlangsung selama enam jam.

"Ini adalah kali ketiga perjumpaan sedemikian diadakan. Pasukan itu membentangkan maklumat kepada anggota-anggota keluarga dan menjawab soalan-soalan.

Kerajaan menekankan komitmennya dan hubungan berterusan dengan anggota-anggota keluarga penumpang MH370," katanya.

Mengenai Sistem Pengendalian Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS), Hishammuddin berkata penghantaran terakhir dihantar pada pukul 1.07 pagi, tidak menunjukkan apa-apa yang luar biasa tetapi menunjukkan satu laluan normal sehingga ke Beijing.

Tiada ulasan: