Ahad, 16 Mac 2014

MB: Projek Horas tambah bekalan air mentah, siap Julai 2015

Oleh: Norhayati Umor


BESTARI JAYA  : Bagi menambah bekalan air mentah kepada pengguna di Lembah Klang, Kerajaan Negeri kini dalam usaha melaksanakan Projek Hybrid off River Augmentation System (HORAS) yang dijangka siap Julai 2015.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata projek yang dibangunkan di kawasan bekas lombong bijih timah seluas 235 hektar di Kampung Sungai Darah itu mampu membekalkan air bersih antara 600 hingga 700 Juta Liter Sehari (JLH).

Katanya, kolam takungan Fasa 1 itu akan dipamkan ke loji rawatan air yang berhampiran iaitu SSP1 yang terletak kira-kira tiga kilometer.

DSC_0112
“Horas ini adalah gabungan konsep off river storage dan horizontal collector well yang membabitkan sistem penakungan stormwater dari Sungai Selangor (lebihan air daripada penggunaan loji-loji sedia ada dan air hujan) dan penakungan air bawah tanah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek pecah tanah di tapak projek Horas, di sini.

Abdul Khalid berkata bagi Fasa 2 pula, projek Horas dijangka mampu menampung 3,000 hingga 5,000 JLH menjelang 2020.

“Konsep HORAS ini memberi kebaikan iaitu mengurangkan penggantungan sepenuhnya kepada pelepasan air empangan dan air permukaan dan menampung permintaan air musim kemarau.

“Selain itu, ia mengelakkan pembaziran air hujan dengan pengurusan sumber air yang lestari dan mengelakkan risiko penempatan hilir sungai,” katanya.

DSC_0134Projek itu meliputi kerja-kerja perlindungan tebing kolam takungan menggunakan Reno Mattres dengan anggaran keluasan 1,930 meter.
Ia turut membabitkan kerja-kerja pembaikan dan perlindungan sungai sepanjang 3.8 kilometer iaitu melebar dan mendalamkan Sungai Selangor.

Selain itu, ia meliputi pemasangan sheet piles sepanjang tiga km untuk mengelak air sungai meresap ke dalam kolam takungan dan melindungi tebing dari terhakis, stesen mengepam air mentah serta jalan keluar masuk dan landskap.

Abdul Khalid berkata projek itu akan mengurangkan kebergantungan air mentah melampau kepada satu sumber air mentah sekaligus memberi jaminan bekalan air berterusan kepada lebih tujuh juta pengguna di Lembah Klang.

“Dengan terlaksananya projek ini, selain memberi jaminan air berterusan, ianya dijangka menjadi tarikan baru ke Kuala Selangor,” katanya.

HORAS merupakan satu daripada tiga tugas utama yang perlu dilaksanakan Kerajaan Negeri sementara menanti siapnya Loji Rawatan Air Langat 2 dan sistem agihannya (LRAL2) sempena memorandum persefahaman (MOU) antara kerajaan negeri dan Pusat baru-baru ini.

Kos pembinaan HORAS termasuk kerja-kerja mengorek kolam dianggarkan sebanyak RM405 juta namun sebahagian kos itu akan ditanggung secara kontra dengan nilai pasir yang dikeluarkan oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) yang dianggarkan sebanyak RM100 juta.EZY

Tiada ulasan: