Rabu, 19 Mac 2014

MB : Jawatankuasa Khas Pengangkutan Awam Selangor kaji kesesakan lalu lintas

Oleh : NAZLI IBRAHIM


SHAH ALAM : Jawatankuasa Khas Pengangkutan Awam Negeri Selangor yang ditubuhkan bagi mencari jalan mengatasi kesesakan lalu lintas di negeri itu dan Lembah Klang akan mengadakan mesyuarat pertama, pada 25 Mac ini.

Mesyuarat jawatankuasa yang dipengerusikan Menter Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu turut dianggotai Exco Kerajaan Tempatan dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim sebagai Timbalan Pengerusi.

Abdul Khalid berkata, jawatankuasa itu akan diselaraskan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar.

a3“Jawatankuasa ini membuktikan komiten kerajaan negeri mempertingkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan terutama di bandar besar yang sentiasa berdepan masalah kesesakan lalu lintas.

“Ia juga sebagai sokongan terhadap usaha yang dijalankan pihak berwajib dalam meningkatkan kesedaran orang ramai supaya tidak terlalu bergantung kepada pengangkutan sendiri,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Selangor di Bangunan SUK, di sini, hari ini.

Jawatankuasa Khas itu turut dianggotai Jabatan Perancangan Desa dan Bandar, Jabatan Keselamatan Jalan Raya Selangor, Lembaga Lebuhraya Malaysia, pengusaha pengangkutan awam seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM), Syarikat Prasarana Negara Berhad dan Cityliner.

Semua Datuk Bandar dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, Rawang dan Taman Templer turut menduduki jawatankuasa itu.

Manakala, dua ahli akademik, Prof Ir Mohamed Rehan Karim dari Universiti Malaya (UM) dan Prof Zakaria Ahmad dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang juga berada dalam jawatankuasa itu akan bertindak sebagai penasihat.-NFN-

Tiada ulasan: