Isnin, 17 Mac 2014

MB: Jangan buat spekulasi anak kapal, penumpang MH370

SELANGOR KINI


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor berharap rakyat tidak membuat spekulasi terhadap mana-mana anak kapal atau penumpang kerana ia hanya akan menyukarkan keluarga mereka.

Sebaliknya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata rakyat perlu memberi sokongan moral kepada ahli keluarga mereka agar terus tabah dan bersabar menghadapi ujian.

“Berdoa agar operasi menyelamat berjalan lancar dengan diselesaikan dengan secepat mungkin,” katanya pada kenyataan media, petang ini.

Beliau sedih dengan perkembangan terbaru mengenai pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk anak kapal disyaki dirampas.

“Kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta anak kapal yang terlibat dan berharap misi mencari dan menyelamat semua mangsa berjaya,” katanya.

Kata Abdul Khalid, kerajaan dan rakyat Selangor juga mengucap terima kasih kepada anggota keselamatan Malaysia dan 13 negara asing yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.

Dalam masa sama, katanya, Kerajaan Selangor meminta semua masjid dan surau di seluruh negeri supaya mengadakan solat hajat mendoakan operasi mencari dan menyelamat berjalan lancar.
- FZ

Tiada ulasan: