Rabu, 26 Mac 2014

Masyarakat antarabangsa perlu kecam kezaliman regim Mesir




SAIDAH HAIRAN 


KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat menggesa masyarakat antarabangsa  khususnya Malaysia mengutuk kezaliman regim tentera Mesir yang kini memperalatkan mahkamah untuk menghapuskan penentangan rakyat.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, masyarakat antarabangsa perlu memberi isyarat jelas kepada regim tentera Mesir dengan menyatakan bantahan seterusnya mengkaji hubungan diplomatik dengan negara tersebut sehingga kerajaan awam yang sah dibentuk.

Beliau turut menggesa pertubuhan antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan tekanan ke atas kerajaan kudeta Mesir supaya menghentikan pelbagai tindakan zalim dan tidak demokratik ke atas rakyat republik itu.

"PBB dan Kesatuan Afrika perlu menggantung keahlian Mesir kerana melakukan pencabulan ke atas hak asasi manusia dengan membenarkan penghakiman yang zalim dibuat tanpa sebarang pembelaan diri oleh pihak tertuduh," tegas beliau.

Beliau turut mendesak kerajaan boneka Mesir yang dikuasai regim tentera mengembalikan sistem demokrasi di Mesir dan menarik balik pengharaman terhadap Ikhwanul Muslimin.

Mahkamah Jenayah Minya, Mesir baru-baru ini menjatuhkan hukuman mati ke atas Musyidul Am Ikhwan Muslimin, Prof Dr Mohd Badie, Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) yang juga bekas Speaker Mesir, Dr Saadu Katatni serta  529 aktivis Ikhwan Muslimin yang lain atas beberapa pertuduhan palsu.

Sementara itu, Pertubuhan Ikram Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya hukuman mati itu.

Presidennya, Dr. Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, hakikat hukuman dijatuhkan setelah hanya dua sesi dan tanpa peluang pembelaan bagi semua tertuduh menjadikannya bercanggah dengan prosedur penghakiman dan prinsip keadilan.

Justeru, ujarnya Ikram menyeru kerajaan Malaysia untuk menggunakan pengaruhnya mendesak rejim tentera Mesir supaya menimbangkan semula kes pendakwaan dan hukuman yang telah dijatuhkan.

“Ikram juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengecam sekeras-kerasnya ketidakadilan yang berlaku, menimbangkan semula sebarang hubungan dengan rejim tentera Mesir, dan mengambil langkah tegas untuk mengembalikan hak demokrasi rakyat Mesir,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tiada ulasan: