Sabtu, 22 Mac 2014

MAS padamkan spekulasi kebakaran kerana bateri

MALAYSIAKINI


 


Selepas berita bahawa MH370 membawa bateri lithium-ion dalam kargo mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan berlaku kebakaran semasa penerbangan, Malaysia Airlines telah mengeluarkan penjelasan berhubung perkara itu.

Dalam satu kenyataan ringkas, MAS berkata bateri lithium-ion yang dibawa dalam pesawat MH370 pada 8 Mac adalah mematuhi syarat-syarat Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) di mana ia diklasifikasikan sebagai barang tidak berbahaya.

Bagaimanapun, ia tidak menyatakan kuantiti atau mendedahkan apa-apa maklumat lain yang berkaitan dengan bateri tersebut yang berada dalam pesawat itu.

Sebelum ini, apabila ditanya mengenai kandungan kargo, ketua pegawai eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya telah menafikan terdapat bahan berbahaya dalam pesawat, dengan mendakwa penerbangan ke Beijing hanya membawa beberapa tan buah manggis.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa MH370 membawa bateri lithium-ion apabila ditanya mengenai perkara itu semasa sidang akhbar semalam.

"Kami bawa beberapa bateri kecil lithium-ion, ia bukan bateri yang besar dan ia pada dasarnya diluluskan di bawah ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) di bawah barangan berbahaya," katanya.

Menurutnya, bateri lithium-ion pada asasnya bukan barangan berbahaya tetapi dari segi ianya diisytiharkan sebagai bahan berbahaya di bawah ICAO.

Ahad Jauhari berkata demikian dalam taklimat harian di Hotel Sama-Sama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jauhari bertegas kargo bateri lithium-ion itu telah diperiksa "beberapa kali" bagi memastikan ia dibungkus mengikut garis panduan ICAO.

Syarikat penerbangan, katanya melakukannya sepanjang masa, dan bukan Malaysia Airlines sahaja.

"Barangan ini diterbangkan oleh banyak syarikat penerbangan kargo, yang berdasarkan kepada peraturan ICAO," katanya.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) yang berpangkalan di AS, sejumlah 141 insiden udara melibatkan bateri yang dibawa sebagai kargo atau bagasi dicatatkan antara 20 Mac 1991 hingga 17 Feb tahun ini.

Dalam kes-kes yang jarang berlaku, seluruh pesawat telah musnah akibat kebakaran yang bermula dari bateri lithium-ion dengan kes yang terbaru ialah Asiana Airlines Penerbangan 991 dan UPS Airlines Penerbangan 6, walaupun kedua-dua insiden itu membabit pesawat kargo.

Tiada ulasan: