Khamis, 13 Mac 2014

Mana ada harga ayam RM1 seekor, kata peniaga kepada Wan Azizah

KEADILAN DAILY


KAJANG : Tiada ayam yang dijual RM1 seekor sepertimana yang didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata calon KEADILAN N25 Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau menyatakan perkara itu berdasarkan pemerhatiannya di Pasar Kajang pada sesi bertemu peniaga jam 8 pagi tadi.

Wan Azizah turut bertanya beberapa peniaga ayam sama ada mereka ada menjual ayam dengan harga RM1 seekor.

ayam“Saya tanya peniaga ayam, ayam seringgit ada? Mereka cakap tak ada. Mereka terus tunjuk tanda harga yang ditulis ayam sekilo RM8.40,” jelasnya kepada pemberita.

Menurutnya, Pasar Kajang perlu diberi perhatian khususnya dari segi infrastruktur yang perlu diperbaiki dan paling penting adalah kebersihan.

“Hari ini kita hanya bertemu peniaga di sini, sebagai memperkenalkan calon dan kita akan adakan pertemuan selanjutnya dengan peniaga.

“Kita akan senaraikan keutamaan dan perkara yang pertama kita perlu buat,” katanya, lapor Harakah Daily.

Pada kesempatan itu, Wan Azizah turut membeli petai dan diberi sejambak bunga ros oleh peniaga di situ.

“Semalam saya pergi pasar malam, saya dapat nangka madu dan daging. Saya dapat petai dan saya akan masak sambal petai,” ujarnya mengakui petai adalah ulam kegemarannya.

Pasar Kajang merupakan satu-satunya pasar di Kajang, menyebabkan ia menjadi tumpuan utama penduduk.

Pelbagai barangan yang boleh diperoleh di Pasar Kajang dari barangan basah, kering, serta pakaian juga terdapat beberapa kedai borong yang turut menjadi tumpuan para peniaga kecil-kecilan.

Tiada ulasan: